Utama Berita Automotif Yamaha Y16ZR-R rasmi lancar, harga RM10,888

Yamaha Y16ZR-R rasmi lancar, harga RM10,888

57

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) rasmi melancarkan Yamaha Y16ZR-R baharu ke pasaran tempatan pada harga cadangan RM10,888 seunit.

Moped itu dikuasakan oleh enjin 155cc SOHC penyejukan cecair, silinder tunggal yang menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW @ 9,500 rpm dan tork maksimum 14.4 Nm @ 8,500 rpm.

Yamaha Y16ZR-R kini dipertingkatkan lagi dengan penambahbaikan teknologi dan ciri-ciri premium melibatkan:

  1. Reka Bentuk Lebih ‘Sporty’ & Aerodinamik
    Yamaha Y16ZR-R menampilkan reka bentuk luaran serba baharu yang lebih ‘sporty’, tajam dan kompak untuk prestasi aerodinamik yang lebih optimum. Bahagian hadapan yang lebih padat membantu melancarkan aliran udara manakala garisan badan lebih tajam menyerlahkan karakter Y16ZR-R yang agresif dan berprestasi tinggi.
  2. Warna dan Grafik Baharu Eksklusif
    Warna dan grafik eksklusif baharu memberikan Yamaha Y16ZR-R penampilan yang lebih menyerlah dan dinamik. Bagi pilihan warna Yoru Black didatangkan dengan kemasan khas bersama efek  ‘Chameleon’ yang mana tona warna berubah mengikut sudut pencahayaan.
  3. Lampu Hadapan LED (Kelas D) Baharu
    Lampu hadapan LED direka semula yang mana diinspirasikan daripada mata tajam seekor pemangsa, menyerlahkan lagi identiti Y16ZR-R yang berani dan penuh karakter.
  4. Nisbah Gear Sekunder Baharu
    Nisbah gear sekunder dipertingkatkan dengan perubahan pada sproket daripada 46T kepada 48T bagi menghasilkan pecutan lebih responsif. Pelarasan baharu ini memberikan tindak balas lebih pantas ketika memulakan pergerakan serta meningkatkan prestasi pecutan pada gear tinggi, khususnya gear keenam.
  5. Sistem Kawalan Traksi (TCS)
    Yamaha Y16ZR-R merupakan moped Yamaha pertama yang dilengkapi dengan Sistem Kawalan Traksi (TCS)
    generasi 1.5. Dengan mengurangkan gelinciran roda belakang ketika memecut, sistem ini memberikan permulaan
    yang lebih lancar serta meningkatkan keyakinan penunggang.
  6. Twin Funnel
    Sistem kemasukan udara Twin Funnel yang dipertingkatkan menghasilkan bunyi sedutan enjin yang lebih menyerlah ketika memecut. Akustik baharu ini memberikan sensasi kelajuan yang lebih nyata. 

Di samping itu, pertama kalinya moped Yamaha didatangkan dengan Unit Kawalan Komunikasi Ringkas (SCCU) dan berfungsi secara lancar bersama aplikasi Y-ON.

Melalui integrasi telefon pintar, penunggang boleh mendapatkan maklumat motosikal, statistik tunggangan, peringatan penyelenggaraan serta notifikasi terpilih daripada telefon pintar, sekali gus memberikan pengalaman tunggangan yang lebih mudah dan praktikal.

Yamaha Y16ZR-R baharu hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Kouka Grey, Raijin Green dan Yoru Black dan boleh didapati di semua kedai pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula esok. 

Manakala Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica tampil eksklusif dengan seragam istimewa Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, Lencana Nombor Siri unik dan suspensi Öhlins. 

Tersedia hanya 3,000 unit di seluruh dunia, ia boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di Malaysia bermula pertengahan bulan Ogos ini pada harga syor RM13,388.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here