Utama Berita Automotif Porsche 911 Turbo S Land Down Under: Rai 75 tahun di Australia,...

Porsche 911 Turbo S Land Down Under: Rai 75 tahun di Australia, tema warna pelik tapi menarik

5

Porsche Cars Australia memperkenalkan Porsche 911 Turbo S Land Down Under, sebuah model one-off yang dihasilkan menerusi program Sonderwunsch sempena sambutan 75 tahun Porsche di Australia.

Model istimewa itu dibangunkan hasil kerjasama rapat antara Porsche Cars Australia, Porsche Sonderwunsch, Style Porsche serta artis kontemporari terkenal yang berpangkalan di Sydney, Werner Bronkhorst.

911 Turbo S Land Down Under mengambil inspirasi daripada landskap luas pedalaman Australia (Outback), kontras alam semula jadi serta keindahan langit Hemisfera Selatan, sekali gus menampilkan sentuhan seni dan hasil kerja yang unik.

Cat Chromaflair eksklusif berubah mengikut cahaya

Daya tarikan utama model ini ialah kemasan cat Chromaflair yang dibangunkan khas untuk projek tersebut.

Buat pertama kali untuk sebuah kereta Porsche di Australia, dua warna baharu diperkenalkan iaitu Terra Australis Red dan Southern Cross Blue.

Kemasan cat badan dihasilkan secara manual dengan peralihan warna daripada Terra Australis Red pada bahagian bawah badan kepada Southern Cross Blue bermula dari garisan bahu, sekali gus menghasilkan kesan peralihan warna yang sekata.

Hasilnya, warna badan berubah mengikut sudut pandangan dan pencahayaan dengan pantulan rona jingga padang pasir, biru senja, hijau eucalyptus serta keemasan matahari terbit.

Pigmen Chromaflair menggunakan kepingan ultra nipis berteras aluminium yang disaluti lapisan lutsinar menyerupai kaca.

Ketebalan lapisan tersebut menghasilkan ilusi warna berbeza apabila terkena cahaya.

Kemasan itu terdiri daripada tujuh lapisan cat yang dihasilkan secara manual, dengan keseluruhan proses mengambil masa lebih 300 jam kerja tangan bagi menggambarkan perubahan rona langit senja di pedalaman Australia.

Melengkapkan penampilan luaran ialah rim Turbo Exclusive bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang yang turut menerima kemasan Southern Cross Blue.

Logo ’75’ tersembunyi dan mesej ‘See ya later mate’

Bumbung kereta menampilkan teknik cat baharu yang pertama kali digunakan oleh Porsche.

Menggunakan fon tulisan Werner Bronkhorst, angka 75 disembunyikan di bawah lapisan cat menerusi kesan ghosting effect yang hanya jelas kelihatan pada sudut tertentu.

Ia bukan sahaja memperingati 75 tahun Porsche di Australia, malah meraikan sejarah panjang Porsche dalam sukan permotoran.

Satu lagi sentuhan unik ditempatkan di bawah spoiler belakang.

Mesej “See ya later mate”, juga menggunakan fon Bronkhorst, hanya akan kelihatan apabila mod Sport Plus diaktifkan atau spoiler belakang automatik terbuka pada kelajuan melebihi 80 km/j.

Dalaman kereta inspirasi landskap Australia

Bahagian dalaman menggunakan gabungan kulit Dark Night Blue bersama warna baharu Coolibah Brown yang dibangunkan khusus untuk model ini.

Kerusi Adaptive Sports Seats Plus 18 hala menampilkan corak tebukan baharu yang menyerupai sapuan berus lukisan Werner Bronkhorst.

Sebanyak 14,417 lubang tebukan disusun dengan teliti bagi menghasilkan corak visual yang lengkap sebelum dipadankan dengan sulaman halus bagi memberikan kesan tiga dimensi.

Kemasan kulit Kalahari dan Coolibah Brown turut digunakan sebagai kontras, manakala perehat kepala menerima logo khas 75 Years Porsche in Australia.

Stereng pula menggabungkan warna Dark Night Blue, Coolibah Brown dan Neodyme bersama penanda jam 12 berwarna Kalahari.

Porsche turut menggunakan kemasan kayu Australian Silky Oak buatan tangan pada papan pemuka serta tempat duduk belakang, dipadankan dengan riasan Neodyme bagi mewujudkan identiti kabin yang lebih mesra alam semula jadi.

Peta Blue Mountains dan langit Uluru tahun 1951

Elemen penceritaan diteruskan menerusi grafik topografi kawasan Blue Mountains yang dicetak pada bahagian atas papan pemuka dan panel sisi kabin.

Grafik tersebut menggambarkan bentuk muka bumi, lembah dan tebing kawasan berkenaan.

Sementara itu, lapik bumbung menerima sulaman peta buruj Hemisfera Selatan yang memaparkan keadaan langit di Uluru pada tahun 1951, iaitu tahun pertama Porsche memasuki pasaran Australia.

Sentuhan seni Werner Bronkhorst

Sebagai sebahagian daripada kerjasama kreatif, Werner Bronkhorst menghasilkan beberapa ilustrasi mini yang diinspirasikan daripada hidupan liar, manusia dan tekstur alam semula jadi Australia.

Karya tersebut disembunyikan di beberapa lokasi pada bahagian luar serta dalam kabin, sekali gus memberi elemen kejutan kepada pemilik apabila menemuinya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here