
Perjalanan Yamaha XMAX 300 Tech MAX di pasaran Malaysia bermula secara rasmi apabila 200 unit pertama skuter maksi premium itu diserahkan kepada pemilik menerusi program khas yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Program penyerahan itu dikendalikan rangkaian pengedar sah Yamaha Big Bike dan semua pemilik telah menerima motosikal masing-masing hari ini.
Kehadiran XMAX 300 Tech MAX menawarkan pilihan kepada penunggang yang mahukan skuter dengan prestasi, keselesaan serta praktikaliti untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Berbanding sekadar menekankan prestasi, pendekatan Tech MAX turut memberi tumpuan kepada kemasan dan keselesaan yang lebih premium.
Model itu dikuasakan enjin satu silinder SOHC 292cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 20.6 kilowatt (kW) pada 7,250 rpm dan tork maksimum 28.9 Newton meter (Nm) pada 5,750 rpm.
Bagi meningkatkan tahap kawalan dan keselamatan ketika menunggang, model ini turut dilengkapi beberapa sistem bantuan elektronik termasuk :
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Emergency Stop Signal (ESS)

Gabungan itu menjadikan XMAX 300 Tech MAX sesuai digunakan dalam pelbagai situasi tunggangan, sama ada ketika berdepan kesesakan bandar atau perjalanan pada kelajuan lebih tinggi.
Aspek ergonomik turut menjadi fokus utama model berkenaan yang hadir dengan tempat duduk menggunakan kemasan gaya kulit premium selain ruang papan kaki luas bagi membolehkan penunggang mengubah kedudukan kaki sepanjang perjalanan.
Plat kaki aluminium pula memberikan sentuhan tambahan kepada identiti Tech MAX selain menyerlahkan karakter premiumnya.
Susun atur posisi tunggangan yang santai turut memberikan lebih fleksibiliti kepada penunggang untuk mengubah posisi badan, khususnya ketika melakukan perjalanan dalam tempoh lebih lama.
Pendekatan itu penting bagi sebuah skuter maksi yang bukan sahaja digunakan sebagai pengangkutan harian, malah berpotensi menjadi pilihan untuk aktiviti kembara jarak jauh.

Yamaha XMAX 300 Tech MAX kini boleh didapati melalui rangkaian pengedar Yamaha terpilih di seluruh negara termasuk EL Chong Motor Trading Sdn Bhd, KB Soon Huat Motor Sdn Bhd, Taycon Motor Sdn Bhd, Hong Bee Motors Yamaha Lifestyle Mall dan GT-Max Motors (M) Sdn Bhd.
Turut tersenarai Hiap Aik Star Motorsports Sdn Bhd, Takong Sdn Bhd, Wilhin Motor (M) Sdn Bhd, Serdang Motorcycle Sdn Bhd, Welly World Cycle Sdn Bhd, Boon Hua Motor Sdn Bhd, New Chen Motor Credit Sdn Bhd, Liang Soon Motor Service, TME Motorsports Sdn Bhd, XL Motor Sdn Bhd, BLH-Ban Lee Motor Sdn Bhd dan Ho Hin Motors Sdn Bhd.
Dengan penyerahan 200 unit pertama ini, XMAX 300 Tech MAX kini mula berada di tangan pengguna sebenar di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu bagi varian lebih premium dalam rangkaian skuter maksi Yamaha.




