
Sebanyak 200 unit Yamaha Tracer 9 GT diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tugasan kawalan iringan peringkat tertinggi dan rondaan khas.
Semua unit motosikal berkuasa tinggi itu dibekalkan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), sekali gus menandakan proses pembekalan terbesar syarikat itu kepada PDRM setakat ini.

Majlis penyerahan unit motosikal berkenaan dihadiri SAC Muhammad Hanif Othman bersama pegawai kanan PDRM, serta wakil pengurusan HLYM.
Turut dipamerkan pada majlis itu adalah unit mock-up Yamaha Tracer 9 GT versi PDRM.

Pemilihan model itu dibuat berdasarkan faktor keselesaan tunggangan, prestasi tinggi, teknologi canggih, ketahanan serta kebolehpercayaan terbukti.
Yamaha Tracer 9 GT dikhaskan bagi tugas kawalan iringan peringkat tinggi dan rondaan khas, di mana kestabilan, ketahanan jarak jauh dan prestasi adalah keperluan tidak boleh dikompromi.

Keyakinan PDRM itu diperkukuhkan lagi dengan reputasi Yamaha dalam aspek kualiti dan kebolehpercayaan, disokong oleh rangkaian perkhidmatan selepas jualan HLYM yang meluas dengan lebih 250 pusat Yamaha Quality Service di seluruh negara.
Selain itu sokongan alat ganti kukuh melalui Pusat Alat Ganti HLYM dan pengedar sah juga mengukuhkan lagi keyakinan terhadap jenama Yamaha.

Kerjasama ini memantapkan kedudukan Yamaha sebagai rakan mobiliti dipercayai dalam menyokong keselamatan negara dan kesejahteraan awam.






























