
Hong Leong Yamaha Motor secara rasmi memperkenalkan skuter maxi premium Yamaha XMAX 300 Tech Max 2026 untuk pasaran Malaysia pada harga RM28,499.
Model baharu ini terus mengukuhkan kedudukan XMAX sebagai pilihan utama segmen skuter 300cc dengan gabungan prestasi, teknologi dan keselesaan bertaraf touring.
Di atas kertas, XMAX 300 Tech Max dikuasakan enjin 1-silinder 292cc SOHC berpenyejukan cecair. Ia mampu menghasilkan kuasa 28 hp @ 7,250 rpm dan tork 29 Nm @ 5,750 rpm.
Gabungan kuasa dan tork tersebut menjadikannya cukup bertenaga untuk kegunaan harian di bandar mahupun perjalanan jauh bersama pembonceng dan muatan penuh.
Buat pertama kali, pasaran Malaysia menerima varian Tech Max secara rasmi. Varian ini membezakan diri melalui beberapa sentuhan premium berbanding XMAX 300 versi standard:
Ciri Utama XMAX 300 Tech Max :
- Keselesaan – Comfort Seat dengan busa lebih tebal dan jahitan eksklusif Tech Max untuk perjalanan jarak jauh
- Keselamatan – Sistem ABS dwi-saluran + Traction Control System
- Teknologi – Yamaha Y-Connect untuk notifikasi panggilan, mesej, lokasi parkir, rekod penggunaan bahan api dan penyelenggaraan
- Praktikaliti – Tangki bahan api 13 Liter
- berat keseluruhan 185kg
- Warna – Eksklusif Crystal Graphite sahaja untuk pasaran Malaysia
Kemasan Tech Max turut menampilkan material dan perincian berkualiti lebih tinggi bagi menonjolkan karakter premium skuter ini.
Namun begitu, terdapat satu perbezaan berbanding model yang dijual di Thailand.
Varian XMAX 300 Tech Max untuk Malaysia tidak dilengkapi suspensi belakang Öhlins yang menjadi salah satu tarikan utama di negara jiran.
Sebaliknya, model tempatan masih menggunakan suspensi standard Yamaha yang sudah terbukti selesa dan stabil untuk kegunaan harian dan touring.
Menurut Hong Leong Yamaha, pelancaran XMAX 300 Tech Max ini adalah untuk memenuhi permintaan penunggang tempatan yang mahukan skuter premium dengan teknologi terkini dan keselesaan maksimum tanpa perlu membuat banyak pengubahsuaian.
Dengan harga RM28,499, Yamaha XMAX 300 Tech Max kini boleh ditempah di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara.




