Utama Berita Automotif Toyota kekal jenama paling bernilai, BYD mula atasi Tesla sebagai Raja EV

Toyota kekal jenama paling bernilai, BYD mula atasi Tesla sebagai Raja EV

10

Nilai pasaran automotif global terus mencatat penurunan, menyusut 1 peratus pada 2025 dan 7 peratus lagi pada 2026, dengan jumlah nilai 100 jenama automotif paling bernilai kini mencecah USD575.4 bilion, menurut laporan Automotive Industry 2026 oleh Brand Finance.

Penurunan berterusan ini mencerminkan tekanan semakin memuncak dalam industri, daripada lambatnya peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV) hinggalah kepada persaingan sengit antara pengeluar China yang semakin berkembang pesat.

Walaupun penggunaan EV semakin meningkat, pertumbuhannya tidak seragam seperti dijangka.

Isu seperti kemudahan pengecasan masih terhad, kebimbangan terhadap bateri, serta harga tinggi membuatkan pengguna lebih berhati-hati.

Selain itu, syarikat yang melabur besar dalam EV kini berdepan lebihan inventori dan kadar keuntungan semakin tertekan.

Ia menunjukkan jurang antara perancangan dan keadaan sebenar pasaran masih besar.

Dalam keadaan ini, Toyota (nilai jenama turun 3 peratus kepada USD62.7 bilion) masih kekal sebagai jenama automotif paling bernilai dan paling kukuh untuk tahun kedua berturut-turut.

Kekuatan Toyota datang daripada reputasinya yang dipercayai, jenama dikenali ramai, serta jualan global yang stabil, terutama bagi model hibrid .

Dengan skor Indeks Kekuatan Jenama sebanyak 92.5/100 dan penarafan AAA+, Toyota mendapat manfaat daripada pengaruh jenama yang tinggi, dikenali ramai, serta reputasi yang sinonim dengan kebolehpercayaan di pasaran utama termasuk Jepun, China, India, Malaysia, Singapura, Perancis, Sepanyol, Norway, Denmark dan Australia.

Mercedes-Benz (nilai jenama turun 12 peratus kepada USD46.6 bilion) dan BMW (nilai jenama naik 3 peratus kepada USD43.8 bilion) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Mercedes-Benz terkesan akibat permintaan yang lemah di China dan tekanan tarif di Amerika Syarikat, selain kos penstrukturan semula operasi.

Imej premium dan reputasinya yang kuat masih membantu jenama ini kekal dalam kelompok teratas.

BMW menunjukkan prestasi lebih stabil dengan strategi lebih seimbang antara kenderaan petrol, hibrid dan elektrik.

Prestasi baik di Eropah dan Amerika Syarikat membantu mengimbangi kelembapan di China.

Menurut Alex Haigh, Pengarah Global Sektor Industri Automotif, Brand Finance, peralihan ke arah EV memang sedang berlaku, tetapi tidak seragam seperti yang dijangkakan.

“Jenama yang lebih fleksibel, dengan gabungan teknologi petrol, hibrid dan elektrik, kini lebih mampu bertahan.

“Pada masa sama, persaingan semakin sengit, terutama daripada pengeluar EV China.

“Untuk berjaya dalam jangka panjang, jenama perlu bukan sahaja inovatif, tetapi juga memahami kesediaan pasaran dan keperluan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Zhejiang Leapmotor Technology (nilai jenama naik 67 peratus kepada USD1 bilion) muncul sebagai jenama paling pantas berkembang pada 2026, didorong pertumbuhan pesat pasaran EV China.

Dalam segmen EV, jurang antara jenama semakin jelas. Tesla (nilai jenama turun 36 peratus kepada USD27.6 bilion) jatuh ke kedudukan keenam, mencatat antara penurunan terbesar dalam sektor ini.

Sebaliknya, BYD (nilai jenama naik 23 peratus kepada USD17.3 bilion) terus meningkat, kini berada di kedudukan ke-11 dunia.

Kekuatan BYD datang daripada harga lebih berpatutan, pengeluaran berskala besar, dan kepercayaan pengguna yang semakin meningkat.

Dalam sektor komponen automotif pula, Bosch (nilai jenama naik 24 peratus kepada USD9 bilion) kekal sebagai jenama paling bernilai, disokong portfolio produk yang luas, perniagaan lebih stabil serta kedudukan kukuh sebagai pembekal teknologi utama kepada pengeluar automotif global.

Beralih kepada sektor mobiliti, Uber (nilai jenama naik 35 peratus kepada USD50 bilion) kekal sebagai jenama paling bernilai, didorong pertumbuhan hasil kukuh dan kejayaan program langganan Uber One yang kini mempunyai lebih 30 juta pengguna.

Lyft (nilai jenama naik 7 peratus kepada USD3.7 bilion) pula muncul sebagai jenama paling kukuh dalam sektor ini, hasil strategi harga lebih menarik dan tumpuan kepada pengalaman pengguna lebih baik.

Satu kejutan besar dalam sektor ini ialah kemunculan Grab (nilai jenama naik 53 peratus kepada USD1.7 bilion), satu-satunya jenama mobiliti dari Asia Tenggara yang berjaya memasuki senarai 10 jenama teratas dunia pada tahun ini.

Pertumbuhan Grab didorong prestasi cemerlang dalam perkhidmatan penghantaran makanan melalui GrabFood dan mobiliti melalui GrabTaxi, dengan segmen Perkhidmatan Atas Permintaan mencatat peningkatan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya dalam suku ketiga 2025.

Pencapaian ini membuktikan jenama dari Asia Tenggara kini semakin berdaya saing di peringkat global.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here