
Malaysia tidak menjual minyak kepada negara lain secara sewenang-wenangnya kerana keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan tenaga domestik mencukupi untuk kegunaan rakyat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan dengan Perdana Menteri, Australia Anthony Albanese semalam menyentuh mengenai keperluan sumber perdagangan dua hala yang bersitat saling melengkapi dan bukannya melibatkan penjualan minyak seperti didakwa pihak tertentu.
“Sebenarnya kita tak jual minyak. Kita kata kita perlu daripada dia, ini kadang-kadang kita kena faham. Kita perlu (bahan baja) fosfat daripada dia (Australia), dia pula perlu urea daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan juga tidak berupaya membekalkan diesel kepada pihak luar pada masa ini memandangkan bekalan sedia ada perlu diutamakan untuk kepentingan rakyat dalam negara.
“Ada minyak, kita kata kita boleh pertimbang sekiranya ada lebihan. Sekarang ini belum. Tetapi tohmahan itu lain. Jadi saya tidak fikir wajarlah begini rupa,” katanya.
































