
“Tolong saya bang, rantai motor putus, spoket depan pula hilang. Pomen lain semua tak nak layan, sampai ada yang ‘block’ nombor saya,” keluh seorang pemuda Cina yang terkandas di tengah malam selepas motosikalnya rosak.
Kisah yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu tular selepas seorang mekanik menggunakan akaun Facebook Minyak hitam jalanan original berkongsi kisah yang menyentuh hati berkenaan.
Panggilan Kecemasan Jam 12.30 Malam
Menurut mekanik terbabit, dia yang baru sahaja pulang ke rumah kerana hujan lebat di kawasan Taman Kota Damansara menerima panggilan telefon daripada lelaki berkenaan yang mendakwa melihat nombor telefonnya melalui aplikasi TikTok.
“Dia kata dia sudah buntu. Hubungi pomen lain semua tak mahu datang, malah ada yang bertindak menyekat nombor telefonnya. Walaupun hari sudah lewat, saya kuatkan hati untuk bantu selepas melihat lokasi yang dihantar tidak terlalu jauh,” katanya.
“Saya Ada RM80 Sahaja Bang…”
Sebelum menerima kerja berkenaan, mekanik tersebut cuba membuat rundingan harga dengan menetapkan caj sebanyak RM145 merangkumi harga barang (spoket dan rantai) serta upah kerja pada waktu lewat malam.
“Abang Cina itu kata dia ada RM80 sahaja. Saya beritahu tak dapat sebab itu gaji saya kerja tengah malam begini. Akhirnya dia setuju juga dan kata dia sudah tak tahu nak buat apa lagi,” jelasnya.
Namun, sebaik sahaja kerja pembaikan siap, mekanik itu mendapati pelanggan tersebut terpaksa meminjam wang daripada rakannya terlebih dahulu bagi mencukupkan bayaran servis berkenaan.
Lebih meruntun jiwa, mekanik berkenaan mendapati baki wang yang ada hanyalah cukup-cukup untuk kelangsungan hidupnya sahaja.
“Melihat keadaannya yang betul-betul memerlukan, saya buat keputusan untuk tidak mengambil wangnya. Saya gunakan duit infaq (tabung kebajikan) untuk menanggung kos pembaikan tersebut.
“Masa dia peluk saya, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Saya memang tak boleh tahan sedih dan terus menangis. Setiap manusia pasti ada dugaan dan cerita sendiri,” katanya lagi dalam nada sebak.
Kisah ini membuktikan bahawa sifat kemanusiaan itu merentasi sempadan kaum dan agama. Semoga tindakan murni mekanik ini menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk terus membantu mereka yang dalam kesusahan.
































