Utama Berita Automotif MV Agusta 2026 dengan pakej elektronik sebagai ciri standard, tidak perlu beli...

MV Agusta 2026 dengan pakej elektronik sebagai ciri standard, tidak perlu beli asing!

7

Bagi peminat jentera eksklusif dari Itali, MV Agusta ada berita baik yang cukup padu. Jenama dari Itali ini melengkapi kesemua rangkaian motosikal 2026 mereka dengan pakej elektronik lengkap sebagai ciri standard.

Sama ada model tiga silinder atau empat silinder, setiap motosikal yang keluar dari kilang memang sudah siap dengan kelengkapan penuh.

Maknanya, tiada lagi istilah kena beli komponen tambahan, tiada isu kena bayar untuk pembukaan kunci perisian dan yang paling penting, tiada sebarang yuran pengaktifan dikenakan kepada pelanggan.

Langkah Berani Dalam Pasaran Premium

Strategi MV Agusta ini sebenarnya satu langkah yang berani.

Ketika jenama premium lain mula menjana keuntungan dengan mengenakan caj tambahan untuk ciri elektronik atau pakej pilihan, MV Agusta pilih untuk kekal dengan falsafah yang mengutamakan penunggang.

Pakej elektronik penuh ini sudah siap dipasang terus dari kilang sebagai perkakasan asli (OE).

Ini bermakna harga jualan (MSRP) yang pelanggan bayar sudah merangkumi segalanya, tiada kos tersembunyi, tidak perlu bayar untuk naik taraf selepas beli dan paling penting, prestasi motosikal tidak akan dikompromi.

Prestasi Premium Tanpa Perlu Tambah

Bagi MV Agusta, sistem elektronik canggih bukan sekadar hiasan atau aksesori tambahan, tetapi sebahagian daripada jiwa motosikal moden.

Setiap sistem peningkatan prestasi disepadukan dengan sempurna bagi memastikan tunggangan yang lebih mantap dan boleh dilaras mengikut selera masing-masing.

Berikut adalah spesifikasi elektronik standard pada setiap model:

  • IMU 6-paksi
  • ABS dengan fungsi Cornering
  • 3 mod tunggangan dan 1 mod CUSTOM
  • Quick Shift (naik dan turun)
  • Kawalan Cengkaman (Off + 8 tahap pelarasan)
  • Front Lift Control
  • Kawalan Brek Enjin
  • Respons Enjin Boleh Laras
  • Sensitiviti Pendikit (Rendah / Sederhana / Tinggi)
  • Tork Enjin Maksimum (Rendah / Sederhana / Tinggi)
  • Pengehad RPM
  • Kawalan Jelajah

Melalui mod tunggangan Custom, penunggang boleh muat naik pemetaan enjin sendiri terus dari telefon pintar.

Penunggang boleh tetapkan sendiri karakter enjin dan casis, termasuk tetapan ampaian (untuk model dengan ampaian elektronik).

Paling menarik, pemetaan ini boleh dinamakan mengikut pilihan sendiri dan dilaras dengan tepat walaupun pemilik sedang menunggang.

Keterhubungan dan Interaksi Penunggang

Strategi MV Agusta bukan sahaja fokus pada kelajuan, tetapi juga pada ekosistem digital yang memudahkan penunggang.

Segala maklumat dipaparkan melalui skrin TFT bersaiz 7 atau 5.5 inci.

MV Agusta juga menjadi satu-satunya jenama dalam kelasnya yang menawarkan peranti penjejakan GPS dan sistem anti-kecurian sebagai ciri standard.

Jadi, kuranglah sedikit rasa risau bila pemilik meletakkan motosikal di luar.

Aplikasi MV Ride dan Sistem Penjejakan GPS

Aplikasi MV Ride dan sistem GPS generasi terbaru berfungsi secara bersama sebagai satu unit.

Ia menggabungkan fungsi penjejakan, anti-kecurian, navigasi dan rakaman perjalanan.

Pemilik boleh simpan sehingga sepuluh peta tunggangan yang dilaras khas mengikut kesesuaian jalan yang selalu dilalui.

Untuk navigasi pula, pemilik boleh rancang laluan terus pada telefon dan arahan selekoh demi selekoh akan keluar pada skrin TFT motosikal.

Pemilik juga boleh muat turun peta untuk kegunaan luar talian dan pilih laluan yang dioptimumkan untuk gaya enduro, termasuk jalan off-road jika dibenarkan.

Analisis Data dan Keselamatan

Setiap kali pemilik keluar menunggang, sistem akan rekod data ke dalam Log Buku Perjalanan secara automatik. Data yang direkod memang sangat teliti:

  • Sudut condong
  • Bukaan pendikit
  • Kelajuan purata dan maksimum
  • Masa tunggangan dan jarak
  • Kedudukan gear

Dari segi keselamatan, sistem anti-kecurian akan hantar SMS amaran bersama koordinat GPS setiap sepuluh minit jika ada aktiviti mencurigakan pada jentera.

Terdapat juga fungsi SMS Kecemasan yang akan hantar lokasi penunggang kepada kenalan terpilih jika dikesan berlaku kemalangan.

Paling memudahkan, aplikasi ini menyokong kemas kini perisian (firmware) secara dalam talian (OTA), jadi tidak perlu lagi ulang-alik ke pusat pengedar semata-mata nak kemas kini perisian.

Lengkap “A sampai Z”

Ringkasnya, MV Agusta mahu pastikan jentera mereka lengkap “A sampai Z” sebaik sahaja keluar dari kedai. C

EO MV Agusta, Luca Martin menegaskan bahawa setiap keputusan strategik mereka adalah untuk pelanggan, dengan memberikan pengalaman penuh tanpa kos tersembunyi, seperti yang diharapkan daripada sebuah jenama premium.

Ciri-Ciri Pakej Elektronik MV Agusta 2026

  • Pakej Elektronik Penuh: Standard untuk semua model 2026 tanpa pengecualian.
  • Tiada Kos Tersembunyi: Tiada yuran pengaktifan atau caj pembukaan kunci perisian (software unlock).
  • Paparan Utama: Skrin TFT 7 atau 5.5 inci dengan sambungan Wi-Fi dan Bluetooth.
  • Sistem Keselamatan: Sistem anti-kecurian standard (pertama dalam segmen).
  • Aplikasi MV Ride: Kawalan tetapan motosikal, navigasi selekoh demi selekoh dan log perjalanan melalui telefon pintar.
  • Log Perjalanan: Rekod data sudut condong, bukaan pendikit, kelajuan purata/maksimum dan kedudukan gear.
  • Kemas Kini OTA: Sokongan kemas kini perisian (firmware) secara terus melalui aplikasi tanpa perlu ke bengkel.
  • Perkhidmatan Terhubung: Fungsi anti-kecurian, SMS kecemasan, jejak lokasi dan geofencing adalah percuma untuk tahun pertama.
  • Yuran Langganan: Selepas percuma pada tahun pertama, langganan perkhidmatan terhubung adalah pada kadar 89 Euro (sekitar RM412) setahun.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here