
MV Agusta kembali menggegarkan dunia dua roda dengan memperkenalkan Rush Titanio, evolusi paling ekstrem dalam keluarga hyper-naked mereka.
Model edisi terhad ini akan tiba pada 2026, dan seperti biasa, ia dipertontonkan di pentas paling eksklusif — The I.C.E. St. Moritz, acara musim sejuk yang menghimpunkan jentera rare, kolektor dan peminat seni automotif.
Di tengah padang ais St. Moritz yang ikonik, Rush Titanio tampil sebagai interpretasi paling radikal terhadap falsafah “Motorcycle Art” MV Agusta — lebih agresif, lebih premium, dan lebih teknikal daripada mana-mana Rush sebelum ini.
Evolusi Rush: Dari Army, ke Mamba, kini Titanio
Sejak 2019, Rush sudah melalui beberapa transformasi:
• Rush (2019) – kelabu-gangsa-merah
• Rush Army (2021) – kelabu gelap + kuning
• Rush Mamba (2023) – Rosso Mamba 2.0
Kini, Rush Titanio (2026) muncul sebagai kemuncak evolusi tersebut, hadir dengan livery Nero Intenso, diserikan aksen Argento Magnum dan Blu Titanio. Nama Titanio bukan sekadar gaya — ia merujuk kepada penggunaan titanium sebenar pada banyak komponen utama.
Titanium: Identiti Baharu Rush
Antara komponen titanium yang dimuatkan pada jentera ini termasuklah:
• Ekzos Arrow titanium dengan logo MV Agusta
• Pembawa ekzos titanium
• Penutup hadapan tangki titanium dengan grafik atom
• Pembawa papan pemuka titanium
• Pembawa lampu hadapan titanium
• Skru titanium pada komponen utama
Setiap bahagian titanium menggunakan kemasan brushed, menonjolkan karakter teknikal dan premium.
Ia dikuasakan enjin empat silinder sebaris 1,000 cc Euro5+ menerima 16 injap titanium radial dan 4 rod penyambung titanium tempa — bukti MV Agusta tidak main-main dalam mengejar prestasi.
Karbon Premium, Aluminium Blu Titanio
Rush Titanio juga menerima:
• Gentian karbon twill premium (lebih dalam, lebih teknikal)
• Komponen aluminium anod Blu Titanio sebagai aksen visual
• Tempat duduk Alcantara dengan tulisan “Titanio” dan motif atom laser
Gabungan bahan ini menjadikan Rush Titanio bukan sekadar motosikal — ia sebuah karya seni mekanikal.
Edisi Terhad: Hanya 300 Unit
Rush Titanio akan dibina sepenuhnya di Varese, dan hanya 300 unit bernombor akan dihasilkan. Harga, spesifikasi penuh dan tarikh pelancaran rasmi akan diumumkan kemudian.

































