
Hyundai Motor Malaysia (Hyundai) memperkukuh kedudukan di pasaran automotif tempatan dengan menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama rakan pengedar baharu, HZN Inspiration Sdn Bhd.
Langkah strategik ini menunjukkan komitmen jangka panjang Hyundai untuk mengembangkan rangkaian runcitnya, dalam masa sama meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan.
Melalui kerjasama itu, Hyundai dan HZN Inspiration akan meneroka penubuhan kemudahan pengedar baharu di sekitar Lembah Klang, dengan sasaran pembukaan cawangan pertama pada suku kedua tahun 2026.
Perkembangan ini selari dengan strategi Hyundai memperluaskan jejak pasaran di kawasan yang menunjukkan momentum jualan kukuh serta permintaan pelanggan berterusan.
Menurut kenyataan Hyundai, peluasan rangkaian runcit ini bertujuan meningkatkan capaian pasaran dan membawa jenama, produk serta perkhidmatan lebih dekat kepada pelanggan.

Strategi memperluaskan saluran runcit oleh Hyundai itu juga bakal memberikan perkhidmatan lebih menyeluruh sambil menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang di Malaysia.
Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee berkata, menggunakan tema ‘Sentiasa di sisi anda’, pihaknya komited terhadap pelanggan dan rakan niaga bagi jangka panjang.
Beliau turut menambah, HZN Inspiration mempunyai kehadiran kukuh dalam industri automotif sejak 2011 dan pengalaman itu mampu menyokong aspirasi pengembangan rangkaian Hyundai serta memperkukuh hubungan dengan pelanggan.
Pandangan itu dikongsi Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen menegaskan, Hyundai komited untuk terus berkembang dan membina rangkaian yang menyokong pelanggan di mana sahaja mereka berada.

Menurutnya, kekuatan dan pengalaman HZN Inspiration dalam pasaran tempatan memberikan keyakinan tinggi kepada Hyundai untuk terus mengembangkan rangkaian serta memperkukuh jenama ini di Malaysia.
Hyundai turut mempertingkatkan penawaran pemilikan berteraskan pelanggan bagi menyokong pengguna dan bakal melancarkan Hyundai Protection Plan tidak lama lagi.
Pelan perlindungan ini direka untuk menawarkan perlindungan lebih menyeluruh, fleksibel dan dipermudahkan, sekali gus meningkatkan keyakinan jangka panjang serta ketenangan minda pemilik kenderaan Hyundai.
Hyundai Protection Plan dibangunkan hasil kerjasama dengan lima penyedia insurans terkemuka iaitu Allianz, Berjaya Sompo, Tokio Marine, Etiqa dan Takaful Ikhlas.
Antara manfaat utama ditawarkan termasuk perlindungan nilai dipersetujui sehingga 15 tahun – sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian – kelulusan tuntutan atas meja sehingga RM30,000 dalam tempoh 24 jam, perkhidmatan tunda tanpa had, bantuan tepi jalan 24 jam, serta perlindungan sifar jurang berdasarkan harga invois.






























