MV Agusta Superveloce 1000 Ago, rai Giacomo Agostini dengan 15 juara dunia, 83 sahaja!

7

MV Agusta memperkenalkan Superveloce 1000 Ago sebagai penghormatan kepada Giacomo Agostini, pada tahun jenama yang berpangkalan di Varese itu menyambut ulang tahunnya yang ke-80.

Jentera ini bukan sekadar lambang prestasi tinggi, malah menggabungkan elemen sejarah sebenar daripada karier perlumbaan Agostini menjadikannya di antara motosikal paling istimewa pernah dihasilkan MV Agusta.

Model ini akan mula ditawarkan pada 2025 dan dikeluarkan secara terhad hanya 83 unit di seluruh dunia, bertepatan dengan ulang tahun ke-83 Agostini sendiri.

Legenda yang Mengilhamkan Sebuah Motosikal

Giacomo Agostini bukan calang-calang nama dalam dunia dua roda. Beliau memegang rekod 15 gelaran dunia, 123 kemenangan perlumbaan Kejuaraan Dunia, 18 kejuaraan Itali, serta 10 kemenangan Tourist Trophy dan satu koleksi pencapaian yang masih kekal sukar ditandingi sehingga hari ini.

Superveloce 1000 Ago direka bukan hanya untuk memperingati angka ini, tetapi juga menzahirkan karisma dan warisan perlumbaan seorang juara sejati.

Edisi Terhad 83 Unit Sahaja

Setiap Superveloce 1000 Ago hadir dengan nombor siri unik (1 hingga 83) yang dipaparkan pada plat emas tulen di bahagian kepala hendal, dan ditandatangani secara peribadi oleh Agostini.

Kesemua unit turut disertakan dengan sijil ketulenan yang memaparkan nombor yang sama.

Menambah nilai sejarah, setiap motosikal memiliki satu komponen yang diperbuat daripada piala asal yang dimenangi Agostini semasa karier perlumbaan beliau.

Piala itu dipilih dan disumbangkan sendiri oleh Agostini dari koleksi peribadinya.

Reka Bentuk Klasik dan Agresif

Rekaan Superveloce 1000 Ago diinspirasikan daripada motosikal perlumbaan Agostini, dengan kombinasi warna Fire Red Matt dan Magnum Silver Matt.

Bahagian badan diperbuat daripada gentian karbon yang merangkumi 41 komponen dan menggunakan dua teknik berbeza iaitu gentian karbon tempa (forged) dan berlamina (laminated).

Perincian lain termasuk:

  • Nombor perlumbaan 1 pada latar kuning di bahagian sisi
  • Rim berjari warna perak gaya klasik
  • Tali kulit di atas tangki bahan api dengan plak emas bertulis 15 Titoli Mondiali
  • Pelana Alcantara hitam disulam nama Agostini dan jalur berbentuk anak panah, sama seperti sut perlumbaan

Hadiah Eksklusif untuk Pemilik

 

Pemilik Superveloce 1000 Ago akan diberikan peluang menempah dua barangan eksklusif tanpa bayaran tambahan:

  • Sut perlumbaan Dainese Demone GP 3X, dijahit khas mengikut ukuran, diperbuat daripada kulit kanggaru dan dilengkapi sistem beg udara D-air® serta pelindung titanium.

  • Topi keledar AGV Pista GP RR edisi khas, diinspirasikan daripada livery tricolore Agostini dengan kemasan gentian karbon terbuka.

Kedua-dua item ini tidak dijual secara terbuka dan hanya ditawarkan kepada pembeli model ini sahaja.

Kuasa dan Teknologi Terkini

Superveloce 1000 Ago menggunakan enjin 4-silinder sebaris yang menghasilkan 208 kuasa kuda (hp) pada 13,000rpm dan tork 116.5Nm pada 11,000rpm.

Ia dibina menggunakan komponen ringan dan prestasi tinggi seperti:

  • Rod penyambung titanium tempa
  • Injap titanium radial
  • Aci bersalut DLC

Enjin ini mampu mencapai hingga 14,000rpm, sambil mengekalkan getaran minimum hasil penggunaan aci pengimbang.

Sistem kawalan elektronik MVICS 2.1 menguruskan prestasi dengan lapan penyuntik bahan api dan sistem badan pendikit bersaiz 50 mm.

Antara ciri elektronik lain termasuk:

  • Kawalan Cengkaman boleh laras 8 tahap
  • Kawalan Mula Pandu dan Kawalan Angkatan Depan (FLC)
  • Mod tunggangan: Rain, Sport, Race dan Custom
  • MV EAS 4.0 (sistem gear elektronik naik dan turun)
  • Kawalan Jelajah dengan sistem Ride-by-Wire
  • Paparan TFT 5.5” dengan navigasi berpandu dan integrasi penuh melalui app MV Ride
  • Sistem ABS pintar dengan dua tahap dan fungsi RLM

Suspensi dan Sistem Brek Premium

Superveloce 1000 Ago dilengkapi sistem suspensi elektronik Öhlins sepenuhnya.

Bahagian hadapan menggunakan fork 43 milimeter (mm) boleh laras, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak tunggal 36 mm, kedua-duanya dengan pelarasan automatik dan manual.

Sistem suspensi turut disertakan peredam stereng elektronik Öhlins yang boleh dilaras secara automatik atau manual bagi mengoptimumkan kestabilan.

Kuasa henti dikawal oleh sistem brek Brembo berprestasi tinggi:

  • Cakera hadapan 320 mm dengan angkup Stylema radial
  • Cakera belakang 220 mm dengan angkup 2 omboh

Kit Khas dan Jaminan Kilang 5 Tahun

Setiap pelanggan akan menerima satu kit eksklusif yang merangkumi:

  • Sijil ketulenan bernombor
  • Selimut motosikal khas
  • Pelana balutan kulit dan Alcantara
  • Pelana dan perehat kaki penumpang
  • Pelindung tumit gentian karbon
  • Tuil brek dan klac CNC
  • Larasan ketinggian untuk pin lengan ayun

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here