
Pasukan polis mengambil masa hampir sejam bagi memusnahkan sebutir bom mortar yang ditemui di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora di Ipoh pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat awal penemuan bom lama itu diterima daripada seorang pekerja kontrak yang menjalankan kerja-kerja pembersihan sekitar jam 9.30 pagi.
“Pengadu yang berusia 51 tahun ketika itu sedang membersihkan pokok-pokok dan rumput di kawasan tersebut sebelum menjumpai sebutir bom.
“Sepasukan anggota polis termasuk dari Unit Pemusnah Bom (UPB) dikerahkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan,” katanya.
Difahamkan, kerja-kerja memusnahkan bom berkenaan dilakukan oleh pihak berkuasa dengan radius letupan menjangkau sejauh 200 meter.
Dengan penemuan bom itu, Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi aplikasi X memaklumkan penutupan sementara laluan Kuala Kangsar-Ipoh di kedua-dua arah diaktifkan pada jam 3.02 petang.
“Trafik arah utara dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Selatan manakala trafik arah selatan dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar atas faktor keselamatan.
“Trafik kemudiannya kembali pulih pada jam 3.44 petang selepas semua lorong menuju ke selatan telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna lebuh raya,” katanya.