
MV Agusta memperlihatkan sebuah konsep enjin lima silinder serba baharu bertempat di acara pameran EICMA tahun ini.
Menurut MV Agusta, enjin baharu ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen daripada Supersport hinggalah kepada model Naked dan Touring dengan kapasiti enjin antara 850 cc hingga 1,100 cc.
Enjin rekaan modular MV Agusta ini mampu menjana kuasa setinggi 240 hp pada putaran enjin lebih 16,000 rpm dan daya kilas 135 Nm pada 8,500 rpm.
Dalam masa yang sama, ia mampu menawarkan pengedaran kuasa yang lebih lancar, kurang gegaran serta rekaan yang lebih kompak berbanding enjin empat silinder sebaris dan nadi V4.
Ia turut menampilkan penggunaan pam minyak elektrik serta pam air elektrik yang mampu meningkatkan tahap kecekapan dan responsif enjin, dengan berat keseluruhan cuma bawah 60 kg sahaja.
Dengan turutan pembakaran yang unik, MV Agusta mendakwa enjin ini tidak memerlukan penggunaan sistem pemasaan injap boleh ubah (VVT), sekaligus memastikan tahap kebolehgunaan yang dipercayai pada julat putaran enjin rendah dan output kuasa maksimum.
Enjin ini dijangka akan membuat penampilan sulung pada model MV Agusta yang sangat dinanti-nantikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

































