
Nissan cuba untuk meyakinkan ramai pihak tentang kehadiran model supercar baharu yang bakal menggantikan Nissan GT-R R35 sedia ada.
Namun, pengeluar tersebut tidak pasti sama ada mahu meneruskan resepi sedia ada, atau beralih kepada tetapan rangkaian kuasa yang lebih moden seperti motor elektrik atau enjin hibrid.
Menurut ketua pegawai prestasi Nissan Guillaume Cartier memberitahu Autocar, setakat ini tiada pelan yang jelas untuk model supercar baharu memandangkan pengeluar itu sedang meneroka jalan yang berbeza.
Nissan sebelum ini mendedahkan model konsep Hyper Force yang digembar-gemburkan sebagai pengganti GT-R dengan tetapan empat motor elektrik dan kuasa mencecah 1,341 hp.
Namun untuk memperkenalkan sebuah supercar berkuasa elektrik bukanlah cara yang terbaik melihatkan kepada pemintaan yang semakin menurun di peringkat global.
Menurut Cartier lagi, keputusan untuk menghasilkan GT-R bukanlah satu prioriti pada ketika ini kerana GT-R itu sendiri bukanlah model volum tinggi di pasaran global.
“Terdapat tiga pasaran utama kereta sports di Eropah – UK, Switzerland dan Jerman – selebihnya menyukai model tersebut namun ia bukanlah pasaran yang sebenar,” jelasnya lagi.
Beliau mengakui GT-R memberikan impak yang besar terhadap jenama Nissan, jadi terdapat kemungkinan besar Nissan GT-R R35 akan digantikan dengan generasi R36 dalam tempoh masa beberapa tahun akan datang.
































