
Sebuah Nissan GT-R R33 400R yang sangat jarang ditemui sedia untuk dipinang di Malaysia pada harga RM6.5 juta.
Iklan jualan tersebut dimuatnaik seorang pengguna Facebook Tyler Yap yang menyatakan harga ‘keras’ itu sudah termasuk caj penghantaran serta cukai barangan dan perkhidmatan (SST).
Mengambil kira GT-R 400R merupakan model paling rare di pasaran, harga sedemikian bukanlah sesuatu yang tidak munasabah.
Pada awalnya, NISMO mahu membina 100 unit R33 400R, namun hanya 44 unit sempat dihasilkan sebelum produksi R33 tamat pada 1998. Difahamkan hanya 40 unit 400R yang masih wujud sehingga kini, menjadikannya item buruan pengumpul kereta.
Menurut spesifikasi yang dikongsi oleh penjual, kereta sukan tersebut merupakan model asli 400R dari Jepun dengan perbatuan hanya 82,000km.
“Kondisi asli, tiada sejarah kemalangan dan clean mint condition,” tulisnya, meyakinkan bakal pembeli tentang kualiti kereta itu.
Nissan R33 400R berwarna perak itu dijana oleh enjin bersesaran 2.8 liter RB-X GT2 dengan komponen casis yang dipertingkatkan.
Enjin turbo itu mampu menghasilkan kuasa 400PS @ 6,800rpm dan tork 468.8Nm @ 4,400rpm yang kemudian dipadankan dengan transmisi FS5R30A standard. Pecutan dari 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 4 saat.
Bahagian luaran Nismo 400R pula didatangkan standard dengan kit badan aero Nismo asli yang direka khusus untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan keupayaan penyejukan.
Ia merangkumi over fender eksklusif yang lebih lebar untuk menempatkan tayar dan rim yang lebih besar, serta hud jenis kereta GT yang unik, direka untuk aliran udara yang lebih baik.
Tidak ketinggalan, di belakangnya pula didatangkan dengan bampar dan spoiler serta muffler ekzos titanium eksklusif 400R.
Masuk ke kabin, pemandu akan disambut dengan meter panel 400R yang menunjukkan kelajuan sehingga 320kmj, menggambarkan potensi sebenar R33 tersebut.
Kokpit turut dilengkapi tiga meter NISMO yang diletakkan di tengah papan pemuka, memberikan bacaan penting seperti tekanan turbo, suhu minyak, dan suhu air bagi pemantauan prestasi yang optimum.
Kemasan dalaman diperlengkapkan dengan karpet lantai NISMO yang eksklusif, stereng eksklusif 400R dan tombol gear yang ergonomik. Ruang penumpang belakang juga tidak ketinggalan dengan kerusi eksklusif 400R.
Pada harga RM6.5 juta, Nissan GT-R R33 400R ini bukan sekadar kenderaan, tetapi sebuah legenda automotif hidup yang kini mencari pewaris di Malaysia.
Dengan hanya 40 unit yang masih wujud di dunia dan kondisi terbaik, ia adalah peluang keemasan bagi pengumpul serius untuk memiliki sebahagian daripada sejarah NISMO yang jarang ditemui dan berprestasi tinggi.
Ini bukan sekadar pembelian, tetapi pelaburan dalam sebuah ikon!.