
Pemilik kereta persendirian kini boleh membuat pemeriksaan tukar hak milik (MV15) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) tambahan dalam tempoh tiga bulan lagi selepas empat syarikat pengendali baharu dilantik Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia adalah inisiatif kementeriannya untuk menangani isu kesesakan di Puspakom ketika ini, selain ia selaras keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023.
Beliau berkata, empat PPKM yang dilantik itu hanya akan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan persendirian saja berbanding pemeriksaan terhadap pelbagai jenis kenderaan dilaksanakan di Puspakom ketika ini.
Katanya, bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan persendirian tanpa perlu bersesak dengan kenderaan berat ketika di Puspakom.
“Pelantikan PPKM dengan fungsi khusus bagi pemeriksaan MV15 ini adalah antara usaha kita untuk menambah penawaran perkhidmatan pemeriksaan, pertukaran hak milik kenderaan dalam pasaran dan mengurangkan kesesakan di Puspakom sekarang,” katanya.
Empat syarikat berkenaan adalah Carro Technology Sdn Bhd; Carsome Academy Sdn Bhd; Wawasan Bintang Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.
Tambah beliau, tawaran kelulusan bersyarat diberikan kepada tujuh syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan, namun hanya empat yang menerimanya dan bersedia menerima syarat diletakkan.
Kelulusan bersyarat yang diberikan bagi tempoh 12 bulan itu membolehkan syarikat membuat persediaan berdasarkan syarat ditetapkan dalam garis panduan itu, namun ada syarikat menyatakan mampu mula beroperasi seawal tiga bulan lagi.