Utama Berita Automotif Volvo EX30 Cargo: Tiada kerusi belakang, khusus angkut barang

Volvo EX30 Cargo: Tiada kerusi belakang, khusus angkut barang

6

Volvo Car UK menambah model kenderaan elektriknya melalui pelancaran EX30 Cargo. Model ini merupakan sebuah van berasaskan kereta yang direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan perniagaan dan flit.

Dibangunkan daripada SUV kompak EX30 elektrik, varian Cargo ini menawarkan praktikaliti tambahan dan keupayaan mengangkut barang namun tetap mengekalkan ciri keselesaan, teknologi dan tahap keselamatan EX30 biasa.

Penghasilan EX30 Cargo ini melibatkan proses penukaran peringkat kedua oleh Volvo Car UK untuk mengubah SUV tersebut menjadi kenderaan komersial yang sangat praktikal.

Penukaran ini tersedia untuk pesanan kenderaan baharu mahupun stok sedia ada bagi kenderaan tahun model 2026 dan 2027.

Di pasaran United Kingdom, EX30 Cargo ditawarkan secara eksklusif melalui saluran jualan flit Volvo dengan harga bermula daripada £36,010 atau sekitar RM192,365.

Konfigurasi Ruang Kargo dan Praktikaliti

Bagi mewujudkan ruang kargo yang luas, tempat duduk bahagian belakang telah dikeluarkan dan digantikan dengan lantai rata serta panel akses ke bahagian lantai bawah.

Ubah suai ini membolehkan EX30 Cargo menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,000 liter dengan berat muatan maksimum mencecah 390 kg.

Penghadang khas dipasang untuk memisahkan ruang kabin daripada ruang simpanan barang demi keselamatan.

Selain itu, Volvo turut mengubah suai panel sisi belakang dan pintu untuk meningkatkan jumlah muatan.

Pintu belakang kini mempunyai akses yang dipertingkatkan supaya boleh dibuka dengan lebih luas bagi memudahkan urusan pemuatan barang.

Antara ciri tambahan lain termasuk lampu kerja kargo untuk penglihatan lebih baik serta kerangka sub-lantai yang menyediakan titik pengikat tambahan untuk pelbagai kegunaan komersial.

Rangkaian Kuasa dan Varian

Volvo menawarkan fleksibiliti melalui beberapa pilihan rangkaian kuasa untuk model ini.

Bagi tahun model 2027, rangkaian kuasa P3 110 kW (150 ps) Extended Range akan diperkenalkan untuk pelanggan yang memerlukan kuasa lebih rendah berbanding P5 200 kW (272 ps) namun masih mahukan jarak yang jauh sehingga 482 km.

Pilihan lain termasuk P5 200 kW (272 ps) dalam konfigurasi jarak standard atau Extended Range.

Bagi pelanggan yang mementingkan prestasi tinggi, Volvo menawarkan varian P8 315 kW (428 ps) All Wheel Drive.

Model ini juga ditawarkan dalam dua varian utama iaitu EX30 Cargo dan EX30 Cross Country Cargo yang mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi untuk kegunaan yang lebih pelbagai.

Teknologi dan Ciri Keselamatan

Walaupun berstatus kenderaan komersial, EX30 Cargo tetap mematuhi piawaian keselamatan Volvo yang ketat melalui ujian menyeluruh bagi memastikan sistem keselamatan berfungsi pada tahap tertinggi.

Varian asas iaitu Core dilengkapi dengan Safe Space Technology, perkhidmatan Google Automotive serta Adaptive Cruise Control.

Ciri-ciri standard lain seperti bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera bantuan parkir, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Model ini ini dilengkapi pengecas terbina dalam 11 kWj 3-fasa bersama pam haba untuk kecekapan pemanduan elektrik.

Varian Plus pula menambah ciri Pilot Assist, Digital Key Plus, sistem bunyi premium Harman Kardon serta pemanas pada kerusi depan dan stereng.

Penawaran Volvo EX30 di Malaysia

Bagi pasaran tempatan, Volvo EX30 ditawarkan melalui varian Single Motor Extended Range pada harga RM208,888 dengan mengekalkan konfigurasi 5 penumpang.

Model ini menggunakan platform pacuan roda belakang (RWD) dan motor elektrik yang menghasilkan 200 kW (272 ps) serta tork 343Nm.

Dengan berat 1,850 kg, ia mampu memecut 0 ke 100 km/j dalam masa 5.3 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j.

Bateri 69 kWj memberikan jarak gerak sehingga 476 km dan menyokong pengecasan DC 175kW (10 ke 80 peratus dalam 28 minit) serta pengecasan AC 11 kWj dalam masa 8 jam.

EX30 mempunyai had muatan bumbung 75 kg dan kapasiti menunda treler 1,600 kg.

Spesifikasi Volvo EX30 Cargo (UK)

  • Pilihan Rangkaian Kuasa: P3 110 kW (150 ps) / P5 200 kW (272 ps) / P8 315 kW (428 ps)
  • Jarak Gerak Elektrik: Sehingga 482 km (Extended Range)
  • Kapasiti Ruang Kargo: 1,000 liter
  • Berat Muatan Maksimum: 390 kg
  • Rim: Aloi Aero 18 inci (Core) atau 19 inci (Plus)
  • Sistem Maklumat Hibur: Google Automotive Services dengan ketersambungan telefon pintar tanpa wayar
  • Ciri Keselamatan: Safe Space Technology dan Adaptive Cruise Control
  • Pengecasan: 11 kWj 3-fasa dengan pam haba
  • Harga: Bermula £36,010 (RM192,365) bagi varian P5 jarak standard

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here