
Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON95 tanpa subsidi serta RON97 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei 2026 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menyatakan namun begitu, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat. Harga minyak mentah masih mencecah sekitar USD100 setong, berbanding sekitar USD60 hingga USD70 setong sebelum konflik.
“Harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik. Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus mempengaruhi harga pasaran,” jelasnya.
Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism(APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu, harga runcit produk petroleum adalah seperti berikut:
- Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 20 sen kepada RM4.70 seliter
- Harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 15 sen kepada RM3.87 seliter
- Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter
- Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun sebanyak 30 sen pada harga RM4.87 seliter
- Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter
Di samping itu, dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.




























