Utama Berita Automotif Fiat Multiplay: Roh Multipla hidup kembali dalam bentuk SUV/pikap/minivan

Fiat Multiplay: Roh Multipla hidup kembali dalam bentuk SUV/pikap/minivan

5

Siapa sini masih ingat akan Fiat Multipla? Sebuah MPV kompak yang dihasilkan antara tahun 1998 sebelum ditamatkan produksi pada tahun 2010. 

Ia merupakan antara kenderaan yang cukup popular pada zaman itu disebabkan bentuknya yang radikal dan dalam masa yang sama kejuruteraan yang mengutamakan fungsi dan ruang. 

Kini, semangat Multipla dihidupkan semula menerusi model konsep Fiat Multiplay, sebuah kenderaan modular 3-dalam-1. 

Ia menggabungkan kecekapan ruang sebuah MPV, karakter sebuah SUV dan fleksibiliti sebuah pikap dalam satu pakej. 

Dari segi rupa, Multiplay dilihat sebagai evolusi kepada Fiat Concept Pick-Up (2024) namun tampil dengan rekaan bonet yang pendek, reka bentuk tingkap berbeza, serta lampu LED gaya piksel. 

Ia turut menampilkan jarak kelegaan bumi yang tinggi, serta kemasan pelindung plastik pada gerbang roda. 

Menariknya, Multiplay boleh bertukar menjadi pikap menerusi struktur yang dipanggil “Metamorfosi”.

Sekyen belakang bumbung Multiplay boleh diluncurkan ke depan bersama barisan tempat duduk ketiga, menjadikannya berubah bentuk kepada sebuah pikap kabin berkembar empat tempat duduk. 

Dalam bentuk pikap, konsep tersebut mempunyai pintu belakang jenis split, penutup ruang kargo yang boleh ditarik, lantai modular dengan sistem pengunci barang, serta spoiler bumbung yang boleh diputar, menempatkan rak basikal terbina dalam. 

Ruang kabin Multiplay menawarkan tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi 6+1 di mana +1 merujuk kepada tempat duduk khas untuk haiwan peliharaan. 

Bahagian tersebut turut menampilkan tema warna jingga terang yang diserikan dengan elemen hijau pada papan pemuka, diikuti roda stereng yoke dan skrin paparan ultra lebar. 

Lebih menarik perhatian, kerusi penumpang hadapan boleh direbahkan menjadi kerusi santai yang boleh dipadankan dengan kusyen kepala yang terletak pada papan pemuka. 

Buat masa ini, Fiat tidak mendedahkan secara terperinci platform serta unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada model konsep ini. 

Selain itu, Fiat menegaskan Multiplay bukanlah bayangan kepada mana-mana model produksi tertentu. 

Sebaliknya ia disifatkan sebagai sebuah ‘makmal ujikaji’ untuk penilaian idea dan teknologi yang berpotensi digunakan pada model Fiat akan datang. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here