
Stellantis secara rasmi melancarkan Fiat Topolino untuk pasaran Amerika Syarikat dan boleh dibeli secara rasmi oleh kebanyakan pengguna.
Menurut Fiat, Topolino direka untuk kegunaan dalam kawasan persendirian seperti komuniti pesisir pantai, pusat peranginan, kawasan kejiranan eksklusif dan lokasi di mana kereta saiz penuh dirasakan terlalu besar.
Ia ditawarkan pada harga bermula dari US$13,995 (RM57 ribu).
Topolino dipacu oleh motor elektrik 8 hp dengan pek bateri 5.5 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 75 km dan kelajuan maksimum 31 km/j.
Disebabkan itu, EV kecil ini tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan lebuh raya.
Fiat juga bakal menawarkan kit penukaran Low Speed Vehicle (LSV) yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 40 km/j, selain menambah cermin pandang belakang, kamera undur dan sistem amaran pejalan kaki.
Dari segi dimensi, Topolino membawakan ukuran sepanjang 2,520 mm, lebar 1,400 mm, tinggi 1,550 mm dan berat sekitar 487 kg.
Terdapat versi standard atau versi Topolino Dolcevita yang lebih santai.
Kedua-dua versi didatangkan dalam warna Verde Vita, penutup rim 14 inci gaya klasik, serta lampu LED.
Sementara versi Dolcevita menambah bumbung kain boleh digulung, ‘pintu’ gaya tali dan lencana unik.
Ruang kabin pula menempatkan susun atur papan pemuka yang minimalis, namun lengkap dengan kluster digital, ruang simpanan asas, pemegang telefon pintar serta ciri penyahwap cermin depan.




































