
Ini ialah trak kerja beroda tiga pertama yang dihasilkan oleh Fiat dengan mengambil inspirasi daripada model Piaggio Ape.
Dengan dimensi yang lebih kecil berbanding sebuah kei car, Fiat Tris hanya berukuran sepanjang 3.1 meter, dengan berat sekitar 485 kg.
Ini bermakna, trak cilik comel ini mempunyai kapasiti muatan sehingga 540 kg untuk berat maksimum mencecah 1,025 kg.
Selain itu, binaan tiga roda juga membolehkan Fiat Tris menawarkan radius putaran sekecil tiga meter yang sangat sesuai digunakan untuk kerja-kerja pengedaran barang di dalam bandar.
Fiat Tris dikuasakan oleh motor elektrik 12 hp dan 45 Nm yang membolehkan ia memecut sehingga kelajuan 45 km/j.
Pek bateri lithium 6.9 kWh membolehkan trak ini bergerak sehingga 90 km dan boleh dicas selama tiga jam menggunakan plug domestik.
Antara kelengkapan lain termasuklah skrin kluster digital 5.7 inci, slot pengecasan USB Type-C, soket kuasa 12V, rim 12 inci serta pilihan bentuk badan seperti flat-bed, chassis-cabin dan pikap.
Sayang sekali, Fiat Tris hanya akan ditawarkan untuk pasaran Afrika dan Timur Tengah sahaja.