Berdiri di lokasi titik buta, signalman maut dilanggar lori tipper

77

Seorang pekerja tapak pembinaan maut selepas digilis lori tipper ketika kerja penambakan tanah dijalankan di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat pada Khamis lalu.

Menerusi kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang ketika mangsa yang bekerja sebagai signalman dipercayai sedang memberi arahan kepada pemandu lori untuk mengundurkan kenderaan.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar lori tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” menurut kenyataan pada Ahad. 

JKKP berkata maklumat mengenai kejadian itu diterima pada hari yang sama, dan pegawai penyiasat dihantar ke lokasi pada keesokan harinya bagi menjalankan siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa berada di kawasan titik buta semasa lori sedang mengundur, sebelum terjatuh dan digilis.

“Susulan itu, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu kepada majikan bagi menghentikan serta-merta kerja penambakan tanah di tapak pembinaan berkenaan,” katanya.

JKKP turut mengeluarkan Notis Larangan terhadap majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti terbabit serta kawalan pergerakan lori di kawasan tapak.

Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM500,000.

ARTIKEL LAIN

Berhenti depan lori rider nyaris digilis- Ini titik buta kenderaan besar perlu anda tahu!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here