Utama Berita Automotif China kemuka draf baharu ketatkan piawaian keselamatan teknologi EV

China kemuka draf baharu ketatkan piawaian keselamatan teknologi EV

4

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) secara rasmi memulakan sesi konsultasi awam berhubung draf undang-undang baharu yang bakal mengetatkan piawaian keselamatan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan tenaga baharu (NEV) di negara berkenaan.

Draf perundangan baharu ini merangkumi pengawasan ketat terhadap reka bentuk fizikal dan antara muka pengguna terutamanya membabitkan kerusi Zero-G, lambakan skrin infotainmen bersaiz gergasi, mesej lampu LED boleh suai serta penegasan semula terhadap larangan pemegang pintu tersembunyi. 

Kedudukan Tempat Duduk Kekal Pegun

Satu bahagian daripada draf tersebut memberi tumpuan kepada tempat duduk dan mencadangkan ujian perlanggaran, anti sepit serta ujian kebolehpercayaan yang lebih ketat bagi fungsi tempat duduk yang inovatif.

Ia memetik kerusi Zero-G, kerusi boleh pusing dan kerusi boleh lipat rata sebagai contoh.

MIIT turut mencadangkan agar pengeluar kenderaan menetapkan had waktu dan lokasi fungsi tempat duduk bergerak bagi memastikan keselamatan.

Fungsi pergerakan kerusi dilarang sama sekali untuk digunakan ketika kenderaan sedang bergerak di atas jalan raya demi memastikan keselamatan penumpang semasa perlanggaran.

 

Saringan Skrin Infotainmen Gergasi

MIIT turut menyuarakan kebimbangan berhubung kebanjiran skrin infotainmen bersaiz besar di bahagian tengah konsol dan paparan head-up (HUD) yang semakin kompleks kerana berisiko mengganggu tumpuan pemandu.

Kementerian meminta pengeluar kenderaan untuk menilai kesan gangguan paparan berkenaan terhadap pemandu, selain kebolehpercayaan dan tahap keselamatannya semasa perlanggaran serta dalam keadaan cuaca ekstrem.

Cadangan larangan terhadap skrin lipat dan fleksibel dilihat bakal memberi tamparan hebat kepada jenama gergasi bertunjangkan teknologi seperti Xiaomi dan HIMA (Huawei).

 

Penapisan Mesej Lampu LED Matrix

Tren kenderaan baharu yang membolehkan pemandu memancarkan lukisan mahupun teks pada lampu hadapan dan belakang menerusi matriks LED turut mendapat perhatian ketat pihak berkuasa.

Bagi mengelakkan pemandu memancarkan kandungan sensitif atau tidak diluluskan di jalan raya, MIIT mengesyorkan pengeluar kenderaan melaksanakan sistem penapisan serta memantau setiap mesej yang ditulis pengguna seperti mana penapisan nama hos hotspot Wi-Fi dan Bluetooth pada telefon pintar di China.

 

Tiada Lagi Pemegang Pintu Tersembunyi

Kementerian telah menegaskan semula cadangan larangan terhadap pemegang pintu jenis tersembunyi sepenuhnya.

Pihak kementerian sebelum ini telah menerbitkan rajah pemegang pintu ideal dan menetapkan beberapa reka bentuk pilihan bagi pemegang pintu bahagian luar mahupun dalaman.

Draf terbaharu ini turut merangkumi pemegang pintu dengan reka bentuk inovatif yang meminta pengeluar kenderaan untuk mengesahkan kebolehpercayaan dan keselamatan reka bentuk pemegang pintu baharu di bawah keadaan ekstrem.

Ia juga mewajibkan reka bentuk baharu untuk menggabungkan pautan mekanikal bertindih dan memastikan ruang yang mencukupi untuk pengendalian tangan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here