
GWM Malaysia bakal memperkenalkan dua produk baharu dan sebuah model facelift tahun ini.
Informasi itu didedahkan pada Majlis Malam Media semalam dan GWM Malaysia menyatakan salah satu model baharu yang akan menjengah pasaran adalah Ora Good Cat GT.
Ora Good Cat GT diperkenalkan di pasaran Thailand pada tiga tahun lalu dan versi pemasangan tempatan (CKD) dilancarkan Januari 2024.
Hot hatch lencana GT itu dijual pada harga THB 1,099,000 (RM145,125) seunit dan didatangkan dengan motor magnet kekal segerak berkuasa 126kW dan tork 250Nm.
Kemudian ia dipadankan dengan bateri litium iron fosfat 57.70kWh yang menawarkan jarak pemanduan 460km (NEDC).
GWM TANK 500 LANCAR BULAN DEPAN
SUV off road mewah dengan tujuh tempat duduk itu menggabungkan rekaan moden dengan keupayaan off-road yang canggih.
Menggunakan enjin hibrid empat silinder turbo 2.0 liter bersama transmisi automatik hibrid 9-kelajuan. GWM TANK 500 HEV menjana kuasa gabungan sebanyak 346PS dan 648 Nm tork.
Dengan Sistem Pintar semua jenis permukaan yang merangkumi 11 mod pemanduan, TANK Turn dan Kawalan Pelayaran Off-road, ia mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan dengan mudah.
Pada majlis berkenaan GWM Malaysia berkongsi sejak pelancaran Julai tahun lalu, GWM TANK 300 merekodkan jualan lebih daripada 600 unit manakala di peringkat global SUV itu merekodkan 640,000 jualan.