
Seorang pemandu Porsche melarikan diri selepas mengisi minyak bernilai CNY 500 (RM330).
Tindakan lelaki itu didedahkan di media sosial China oleh seorang pekerja wanita di sebuah stesen minyak sebuah lebuh raya yang terletak di antara wilayah Hubei dan Shaanxi, (bahagian tengah China) dalam kejadian pada 12 Mac lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu memandu kereta sukan Porsche berwarna hitam tanpa nombor plat yang mana satu tindakan yang melanggar undang-undang jalan raya di China.
Bagaimanapun, kereta baharu dibenarkan dipandu di jalan raya selepas pemilik memohon nombor plat sementara, iaitu dalam bentuk dua keping kertas untuk ditampal pada cermin depan dan belakang kereta.
Kakitangan wanita bernama Song berkata, dia bertugas seorang diri pada hari kejadian dan telah mengalihkan tiang penghadang di hadapan kereta lelaki itu.
Menurutnya, kebiasaannya sebelum pelanggan membuat pembayaran, dia akan segera melayan pelanggan lain yang menunggu giliran.
Namun, Song terkejut apabila melihat lelaki itu masuk semula ke dalam keretanya dan terus memandu pergi tanpa membuat pembayaran.
Susulan kejadian itu, beliau terpaksa menanggung kos minyak tersebut kerana pekerja dikehendaki menyelesaikan semua akaun sebelum pertukaran syif.
Song berkata, pendapatan beliau pada bulan lalu adalah sebanyak CNY2,800 (RM1,679), dan mempunyai dua orang anak perempuan yang perlu ditanggung.
Pada 14 Mac, pengurus stesen minyak memberitahu Fengmian News bahawa pihak syarikat telah membayar balik jumlah kerugian tersebut kepada Song.
POLIS TAHAN PEMANDU PORSCHE
Song menyiarkan video kejadian itu dalam talian dengan harapan dapat mengesan lelaki tersebut, selain turut meluahkan rasa marahnya.
Empat hari selepas kejadian, pihak polis berjaya mengesan lelaki berkenaan di wilayah Shaanxi, bahagian barat laut China.
Lelaki tersebut (yang identitinya tidak didedahkan) cuba mengelak daripada hukuman dengan meminta maaf kepada polis dan memindahkan wang tersebut kepada stesen minyak secara dalam talian.
Walau bagaimanapun, pihak polis tetap berkeras untuk membawanya ke balai polis bagi siasatan lanjut.
Kegagalan membuat bayaran selepas menerima barangan atau perkhidmatan merupakan satu kesalahan di bawah Undang-undang Hukuman Pentadbiran Keselamatan Awam China.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga CNY 1,000 (RM600) dan ditahan sehingga 15 hari.
“Pihak polis bukan sahaja perlu menghukumnya kerana tidak membayar, tetapi juga kerana memandu tanpa nombor plat,” komen seorang netizen.