Utama Berita Automotif Rugi RM500k, terpedaya pelaburan stesen minyak

Rugi RM500k, terpedaya pelaburan stesen minyak

16

Wang simpanan keluarga yang sepatutnya digunakan untuk rawatan kanser lesap apabila seorang warga emas mengalami kerugian RM500,000 selepas terpedaya pelaburan stesen minyak di Kedah pada 2023.

Wakil mangsa yang mahu dikenali sebagai Fatin, 30-an berkata bapanya diperkenalkan kepada individu itu melalui kenalan sebelum bersetuju melabur selepas diyakinkan dengan surat tawaran projek berkenaan.

Menurutnya, pertemuan pertama berlaku sekitar November 2023 sebelum bayaran mula dibuat pada Disember tahun sama.

“Pada sekitar 2023, ayah saya didekati seorang individu untuk melabur bagi membuka stesen minyak. Bila ditawarkan, ayah saya berminat dan bersetuju melabur RM500,000 berdasarkan surat tawaran yang diberikan.

“Dia janji pulangan RM10,000 setiap bulan dan bayaran dibuat melalui cek,” katanya pada sidang media di Pejabat Urusan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO). 

Jelasnya, bagaimanapun cek yang diterima gagal ditunaikan selepas beberapa pembayaran awal bahkan daripada  10 cek diterima hanya empat berjaya ditunaikan berjumlah kira-kira RM40,000 manakala enam lagi cek tendang.

“Bila ayah saya cuba tunaikan cek, rupanya cek tendang, tak ada duit dalam akaun.

“Bila cuba hubungi semula, dia tak jawab panggilan. Kami pergi ke rumahnya pun tiada orang,” katanya.

Menurutnya, wang yang dilaburkan itu adalah simpanan keluarga termasuk untuk rawatan ibunya yang kini menghidap kanser payudara. 

Fatin menyatakan usaha menghubungi suspek selepas kejadian gagal apabila individu itu menghilangkan diri. Laporan polis telahpun dibuat pada Februari lalu selepas segala usaha dan rundingan dengan individu terbabit menemui jalan buntu.

“Ayah saya cuba hubungi berkali-kali, tapi tak dijawab. Kami pergi ke rumahnya, tapi tiada orang. Kami hanya berharap dapat semula wang kami,” katanya.

Sementara itu, panel peguam MHO, Muhamad Falaq Adnan berkata, pihaknya sudah membantu keluarga mangsa mendapatkan pengesahan daripada syarikat minyak berkaitan bagi tujuan siasatan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here