
Seorang lelaki cedera di bahu dipercayai ditembak dua individu bersenjata api di stesen minyak di Bidor Sentral, di Tapah, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kejadian berlaku pada jam 6.08 petang ketika mangsa, 41, yang memandu Toyota Land Cruiser putih ke stesen berkenaan untuk mengisi minyak.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Honda City hitam dari arah Pekan Bidor berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Dua lelaki yang dipercayai bersenjata api keluar dari kereta berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.
“Ketika kejadian, terdapat lima individu di dalam kenderaan mangsa, bagaimanapun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Alwi berkata, mangsa yang cedera akibat terkena satu das tembakan di bahu kiri dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke sebuah hospital di Ipoh sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Mengulas lanjut mengenai pemeriksaan di lokasi kejadian, beliau berkata, pasukan forensik menemui satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru jenis sama serta serpihan anak peluru.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru serta kesan tembakan pada bahagian.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
































