
Mforce Holding Sdn Bhd meneruskan momentum pelancaran model baharu mereka dengan memperkenalkan Morbidelli F252, sebuah sportbike 250cc yang dibina untuk penunggang yang mahukan prestasi enjin twin, casis mantap serta ciri elektronik yang jarang ditawarkan dalam kelas harganya.
Ia dikuasakan enjin 249.5 cc Twin In-Line DOHC 8-injap yang menghasilkan 31.5 hp pada 11,000 rpm dan 21 Nm pada 9,500 rpm.

Karakter enjin dua silinder ini memberi rev tinggi dan respon agresif, sesuai untuk penunggang yang sukakan tunggangan sporty. Enjin tersebut dipadankan transmisi 6-kelajuan, lengkap dengan slipper clutch bagi memastikan penukaran gear lebih stabil ketika menurunkan gear pada kelajuan tinggi.
Dari segi struktur, F252 dibina menggunakan rangka jenis Perimeter, digandingkan jarak roda 1,375 mm, berat 175 kg, serta ketinggian tempat duduk 790 mm yang masih mesra majoriti penunggang di Malaysia.

Kapasiti tangki 15 literpula memberi jarak perjalanan lebih jauh berbanding kebanyakan sportbike 250cc lain.
Bahagian suspensi hadir dengan set yang lebih premium iaitu fork USD 41 mm di bahagian depan dengan travel 120 mm, manakala belakang menggunakan Pro-Link Shock dengan pelarasan preload dan travel 122 mm.

Gabungan ini memberikan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi serta pengendalian lebih yakin ketika mengambil selekoh.
Kuasa membrek pula tidak mengecewakan. Morbidelli melengkapkannya dengan cakera depan 300 mm floatingbersama kaliper 4-piston, manakala cakera belakang 240 mm menggunakan kaliper 1-piston.
Kedua-duanya disertakan sistem BOSCH ABS Dual Channel, memberikan tahap keselamatan lebih tinggi semasa membrek kecemasan.

F252 menggunakan tayar MAXXIS bersaiz 110/70-17 di depan dan 150/70-17 di belakang. Ini satu kombinasi lebar yang membantu memberikan cengkaman lebih baik dan stabil ketika menunggang laju.
Ciri elektroniknya turut memberi nilai tambah. Ia dilengkapi paparan TFT 5 inci, Traction Control (TCS), 3 mod tunggangan, suis handle bercahaya serta port pengecasan USB Type-A & Type-C. Ciri yang biasanya ditemui pada model lebih mahal kini hadir sebagai standard pada sportbike ini.

Morbidelli F252 akan mula berada di pasaran Disember ini, dengan harga bermula RM14,888, menjadikannya antara sportbike 250cc enjin twin yang paling kompetitif dari segi pakej dan nilai untuk wang.
Dengan gabungan enjin berkuasa, spesifikasi suspensi dan brek yang lengkap serta teknologi moden, Morbidelli F252 jelas mahu mencabar pesaing utama dalam segmen sport 250cc tempatan.































