Morbidelli T250X lancar di Malaysia: Adventure 250cc dengan TCS & ABS dari RM9,888

6

Pasaran motosikal adventure kelas pertengahan di Malaysia terus meriah menjelang hujung tahun ini dengan kehadiran model baharu Morbidelli T250X, yang bakal memasuki pasaran secara rasmi bermula Disember.

Model ini hadir sebagai pilihan mampu milik untuk mereka yang mahukan jentera 250cc yang sesuai untuk kegunaan jalan raya dan juga laluan off-road ringan.

T250X dikuasakan enjin 249 cc penyejukan udara dengan sistem BOSCH EFI, konfigurasi SOHC 4-injap, menjana 24.4 hp pada 7,500 rpm dan 22.3 Nm pada 6,000 rpm.

Ianya digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan yang menawarkan karakter enjin bertenaga pada rev sederhana, sesuai untuk pendakian, tunggangan santai dan perjalanan luar bandar.

Bahagian casis menggunakan rangka double-cradle, dipadankan jarak roda 1,340 mm, berat 154 kg, dan ketinggian tempat duduk 820 mm.

Ia turut hadir dengan tangki bahan api 11.7 liter, memberikan jarak perjalanan yang memadai untuk penjelajahan hujung minggu tanpa kerap berhenti mengisi minyak.

Komponen suspensinya juga dibina untuk menampung pelbagai bentuk permukaan jalan. Di hadapan, T250X dilengkapi fork USD 41 mm dengan travel 177 mm, manakala belakang menggunakan monoshock boleh laras preload dengan travel 55 mm.

Setup ini memberi keseimbangan antara keselesaan harian dan ketahanan ketika melalui laluan tanah atau jalan rosak.

Sistem brek pula menampilkan cakera depan 265 mm dan belakang 220 mm, kedua-duanya menggunakan kaliper 2-piston serta disokong ABS Dual Channel sebagai standard.

Bagi meningkatkan kemampuan off-road, ia dipadankan tayar bersaiz 90/90-19 di depan dan 110/90-17 di belakang, sesuai untuk mengekalkan cengkaman dalam pelbagai keadaan permukaan.

Dalam aspek elektronik, Morbidelli tidak mengetepikan ciri moden. T250X hadir dengan paparan LCD menegak 7 inci, sistem Traction Control (TCS), suis handle bercahaya dan port pengecas USB Type-A, menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Morbidelli menawarkan dua varian untuk pasaran tempatan:

  • Standard – RM9,888

  • Special Edition – RM11,288

Dengan harga permulaan di bawah RM10,000, Morbidelli T250X menjadi antara model adventure 250cc yang paling kompetitif di pasaran.

Galeri Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here