
Selain memperkenalkan skuter BX200i, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd turut menghangatkan segmen sportbike tempatan dengan pelancaran Keeway RKR250.
Ia sebuah jentera 250cc yang dibangunkan untuk penunggang mahukan gaya agresif, prestasi menarik dan ciri premium tanpa perlu berbelanja besar.

RKR250 digerakkan oleh enjin 249.3 cc Twin In-Line DOHC 8-injap, menghasilkan 31.5 hp pada 10,500 rpm dan 22.5 Nm pada 9,500 rpm.
Enjin itu digandingkan bersama transmisi 6-kelajuan serta slipper clutch, memberikan penukaran gear lebih lancar dan stabil ketika menurunkan gear pada kelajuan tinggi.

Struktur motosikal ini menggunakan Diamond Frame, dipadankan dengan jarak roda 1,380 mm, berat 165 kg, ketinggian tempat duduk 770 mm dan tangki bahan api 12 liter.
Dimensi ini menjadikannya sportbike yang sesuai untuk kebanyakan penunggang Malaysia, tidak terlalu tinggi, mudah dikawal dan selesa untuk kegunaan harian.
Di bahagian suspensi, Keeway melengkapkannya dengan fork USD 40 mm di depan dengan travel 100 mm, manakala belakang menggunakan Pro-Link Monoshock dengan travel 42.5 mm.

Sistem membrek pula hadir cakera depan 320 mmdengan kaliper 4-piston, manakala belakang 240 mm dengan kaliper 1-piston, dan kedua-duanya dipadankan ABS Dual Channel sebagai standard. Tayar depan bersaiz 110/70R17 dan belakang 150/60R17.
Ia datang dengan paparan TFT 5 inci, Traction Control (TCS), sistem pemantauan tekanan tayar TPMS, serta suis handle bercahaya untuk kegunaan waktu malam. Pakej berkenaan menjadikan RKR250 sebuah sportbike yang benar-benar lengkap dari segi prestasi, keselamatan dan elektronik.

Keeway RKR250 dijual pada harga bermula RM13,888 dan dijangka memasuki pasaran tempatan pada Disember ini.
Dengan gabungan prestasi enjin twin, ciri elektronik moden dan rekaan garang, ia berpotensi menjadi antara pilihan menarik dalam kategori 250cc untuk penunggang baharu mahupun yang mahukan jentera harian yang lebih bertenaga.





























