
Segmen skuter urban di Malaysia semakin meriah akhir-akhir ini, dan kali ini Mforce Bike Holding Sdn Bhd tampil dengan satu lagi pilihan yang dijangka mencuri perhatian ramai menerusi Keeway BX200i.
Model ini hadir sebagai alternatif baharu untuk penunggang yang mahukan skuter praktikal, lengkap dengan ciri moden serta harga mampu milik.
BX200i digerakkan oleh enjin 174 cc penyejukan cecair dengan konfigurasi SOHC 4-injap, menghasilkan 18.2 hp pada 8,500 rpm dan 17.2 Nm pada 6,500 rpm.
Dengan sistem EFI dan transmisi CVT, karekter enjin BX200i lebih fokus kepada respon spontan dan kelancaran ketika bergerak di trafik bandar.
Ia bukan hanya sesuai untuk ulang-alik harian, tetapi juga menawarkan kuasa yang cukup untuk jarak sedikit jauh.

Binaan skuter ini menggunakan rangka flat-type dengan jarak roda 1,350 mm dan berat hanya 153 kg, menjadikannya stabil tetapi masih mudah dikawal.
Ketinggian tempat duduk 790 mm juga mesra majoriti penunggang di Malaysia. Satu lagi kelebihan ialah tangki bahan api 11 liter, yang lebih besar berbanding beberapa pesaing dalam kelas sama. Ini bermakna penunggang tidak perlu kerap singgah di stesen minyak.
Dari segi suspensi, BX200i menggunakan fork teleskopik di bahagian depan dengan travel 75 mm, manakala belakang dilengkapi dwi-penyerap hentak dengan pelarasan preload.
Sistem membreknya pula ditingkatkan dengan ABS Dual Channel, bersama cakera 220 mm di kedua-dua roda. Turut dipadankan dengan tayar 110/80-14 untuk bahagian depan dan 120/70-14 di belakang, memberikan cengkaman dan kestabilan yang baik di jalan raya.

Keeway memberi perhatian lebih pada kemudahan harian dengan menampilkan paparan LCD warna, sistem keyless start, serta dua port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Satu ciri yang benar-benar membezakan BX200i dalam kelasnya ialah dashcam depan terbina. Jarang sekali skuter dalam kategori harga ini dilengkapi ciri sebegini dari kilang.

Selain itu, model ini hadir dengan lampu LED penuh, lampu DRL, serta ruang simpanan dalaman yang lebih besar yang digelar “Extra-Space”, sesuatu yang pasti dihargai oleh penunggang harian.
Mforce menawarkan BX200i dalam dua pilihan:
-
BX200i – RM7,988
-
BX200i Special Edition – RM8,288
Model ini dijangka mula memasuki pasaran seawal Disember ini, menjadikannya antara pelancaran skuter yang paling dinanti bagi menutup tahun 2025.





























