Suzuki Hayabusa 2026 diperkenal di UK, lebih tork pada rpm rendah, tawaran Akrapovič lebih murah

8

Suzuki mengumumkan beberapa kemas kini penting model ikonik Hayabusa bagi tahun 2026 untuk pasaran United Kingdom (UK).

Selain pembaharuan warna, motosikal hiper legenda ini turut menerima peningkatan teknikal dan tawaran pakej ekzos Akrapovič istimewa dengan penjimatan yang ketara.

Rangkaian Kuasa 

Hayabusa dikuasakan oleh enjin 1,340 cc dengan kuasa maksimum 190 ps pada 9,700rpm dan tork puncak 150Nm pada 7,000rpm.

Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan constant mesh.

Peningkatan Prestasi dan Ciri Teknikal

Hayabusa 2026 menyaksikan penalaan semula pada pemetaan pendikit (throttle maps) boleh pilih.

Penambahbaikan ini bertujuan untuk meningkatkan tork pada julat putaran enjin yang lebih rendah dan memberikan daya pecutan yang lebih responsif.

Sistem kawalan jelajah (cruise control) juga telah dikemas kini bagi memastikan ia kekal aktif semasa penukaran gear dan membantu semasa tunggangan jarak jauh.

Selain itu, sistem kawalan pelancaran (launch control) telah diperhalusi untuk prestasi optimum.

Dari segi komponen, bateri standard telah digantikan dengan bateri Litium Ion ELIIY Power, yang menawarkan prestasi dan kecekapan yang lebih baik.

Pakej teknikal baharu turut digunakan pada model edisi istimewa Hayabusa 2026 dengan skema warna biru dan putih serta beberapa komponen istimewa lain.

Skema Warna Baharu 2026

Bagi tahun 2026, Hayabusa akan ditawarkan dalam dua skema warna utama:

  • Hitam berkilat dengan riasan merah gelap.
  • Putih dengan riasan biru.

Tawaran Istimewa Ekzos Akrapovič

Suzuki turut melancarkan tawaran promosi baharu yang menarik. Pembeli Hayabusa di UK berpeluang untuk menaik taraf kepada ekzos Akrapovič rasmi dengan harga hanya £1,999 (RM10,915.24).

Memandangkan harga (RRP) bagi ekzos ini adalah £3,025 (RM16,552.17), tawaran ini memberikan penjimatan lebih daripada £1,000 (RM5,468.62).

Untuk menikmati tawaran, pelanggan mesti menempahnya pada masa pembelian motosikal dan harga yang ditawarkan termasuk kos pemasangan.

Data Spesifikasi Teknikal Hayabusa

  • Enjin: 1,340cc, 4-lejang, 4-silinder, sejukan cecair, DOHC
  • Transmisi: 6-kelajuan constant mesh
  • Kuasa: 190 ps @ 9,700rpm
  • Tork: 150.0Nm @ 7,000rpm
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 20.0 L 
  • Kawalan Cengkam: Sensitif sudut kecondongan (lean angle sensitive). 10 mod boleh pilih dan off.
  • Penggunaan Bahan Api: 14.90km/L
  • Ketinggian Tempat Duduk: 800 mm 
  • Berat (Kerb): 264.0 kg
  • Suspensi Hadapan: Boleh laras, teleskopik terbalik, spring gegelung, redaman minyak
  • Suspensi Belakang: Boleh laras, jenis link, spring gegelung, redaman minyak
  • Brek Hadapan: Brembo Stylema, 4-omboh, dua cakera
  • Brek Belakang: 1-omboh, cakera tunggal
  • Tayar Hadapan: 120/70ZR17M/C (58W)
  • Tayar Belakang: 190/50ZR17M/C (73W)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here