
Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot membawa pendatang tanpa izin yang karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand ditamatkan hari ini, selepas sembilan hari dilaksanakan meliputi kawasan pencarian seluas 1,745.88 batu nautika persegi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata operasi akan ditamatkan pada 6.30 petang, pada Isnin selepas penilaian akhir mendapati tiada petunjuk baharu selain faktor cuaca dan risiko, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) CARILAMAT.
Beliau berkata operasi berkenaan diaktifkan bermula 9 November lalu setelah Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan penemuan mangsa pertama di perairan Langkawi sehari sebelum itu.

“Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 43 mangsa berjaya ditemukan, terdiri daripada 14 mangsa terselamat (12 lelaki, dua wanita) dan 29 mangsa maut (15 lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan).
“Penemuan mangsa sepanjang operasi direkodkan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai,” katanya.
Zainudin berkata semua mangsa yang ditemukan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan pengecaman dan tindakan lanjut.
Beliau berkata sekiranya terdapat penemuan atau petunjuk baharu pihaknya akan menilai semula untuk mengaktifkan operasi CARILAMAT bagi mencari mangsa-mangsa yang masih hilang.
Menurut Zainudin, dalam operasi sembilan hari itu lebih 300 pegawai dan anggota terlibat serta 22 aset digerakkan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan (DOF).






























