Utama Berita Automotif Brembo Hyction bawakan teknologi daripada hypercar untuk motosikal

Brembo Hyction bawakan teknologi daripada hypercar untuk motosikal

4

Cuba bayangkan satu hari nanti, motosikal yang anda tunggang itu mempunyai teknologi brek yang diperoleh daripada sebuah hypercar. 

Itulah yang cuba ditonjolkan oleh Brembo menerusi produk rotor seramik karbon Hyction pada Ducati Superleggera V4 Centenario. 

Nama Hyction diambil bersempena gabungan “hyper” dan “action”, menandakan bahan ekstrem yang sebelum ini digunakan pada hypercar kini dibawakan pada motosikal jalanan buat pertama kali. 

Rotor brek ini menggunakan komposit seramik karbon dengan matriks karbon yang diperkuat gentian serta disepadukan silikon dan silikon karbida. 

Ia mempunyai diameter 340 mm, ketebalan 8 mm dan hadir dengan 132 lubang pengudaraan untuk memaksimumkan penyejukan. 

Dengan berat sekitar 1.375 kg, rotor ini lebih ringan 450 gram atau bersamaan 900 gram untuk setiap roda dan menurunkan inersia sebanyak 40 peratus berbanding penggunaan cakera keluli biasa. 

Hasilnya, perubahan arah yang lebih pantas, respons lebih tajam dan ketepatan pengendalian yang lebih baik. 

Digabungkan dengan angkup brek monoblok aluminium GP4-HY serta cakera belakang keluli terapung inovatif, teknologi Hyction ini menawarkan manfaat dari segi jisim unsprung yang lebih rendah, inersia lebih kecil, serta kestabilan haba dan geseran yang jauh lebih baik. 

Sistem brek itu turut dilengkapi dengan silinder induk Multiple Click System (MCS) yang menawarkan pelarasan jarak dan nisbah tuil. 

Untuk memastikan pengendalian jentera yang lebih berkesan, sistem ini digandingkan sekali bersama fork Öhlins NPX 25/30 Carbon dan penyerap hentak Öhlins TTX36 GP LW pada roda belakang. 

Fork hadapan tersebut menggunakan tiub luar gentian karbon berlapis yang lebih ringan 8 peratus berbanding Panigale V4 R dan 10 peratus lebih ringan berbanding Panigale V4 standard. 

Penyerap hentak belakang pula menggunakan spring keluli ringan khas dan injap berasaskan teknologi MotoGP. 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here