
Brembo merupakan jenama yang sinonim dengan brek berprestasi tinggi untuk supercar, superbike mahupun jentera lumba.
Namun, menerusi kerjasama terbaharu dengan Specialized Bicycles, jenama Brembo bakal dipahatkan pada perlumbaan basikal gunung (MTB).
Unit prototaip sistem brek Brembo Specialized itu akan digunakan oleh pelumba pasukan Specialized Gravity untuk musim perlumbaan 2025.
Kit brek itu merangkumi komponen seperti master cylinder 9 mm, angkup depan empat omboh aluminium, hos brek keluli kalis karat, rotor brek setebal 2.3 mm, dan tuil brek boleh laras.
Keseluruhan sistem brek baharu Brembo Specialized ini akan turut dipamerkan semasa perlumbaan Brembo Italian MotoGP yang berlangsung serentak dengan acara perlumbaan UCI Mountain Bike World Cup.
Buat masa ini, fokus Brembo tertumpu kepada perlumbaan terlebih dahulu.
Berdasarkan kenyataan Brembo yang dihantar kepada laman RideApart, mereka berharap kerjasama dengan Specialized ini akan membuahkan inovasi yang lebih mantap pada masa hadapan.