
Hanya kerana sekeping gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook, pemilik Lamborghini Huracan ini dikecam kerana parkir di petak yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).
Seperti yang diduga, hantaran tersebut mengundang tumpuan netizen dengan ribuan komen dan emoji yang mengutuk perbuatan pemilik tersebut.
Kisah kecaman tersebut berubah di luar jangkaan apabila pemilik Lamborghini Huracan itu sendiri memuat naik gambarnya yang sedang bergaya di sebelah kereta miliknya.
Dalam gambar tersebut, lelaki itu dilihat mempunyai sepasang kaki prostetik dan memegang sekeping kad berwarna biru.
Dengan kapsyen “sekeping gambar untuk para peminat saya”, hantaran tersebut dilihat merupakan satu sindiran sinis kepada mereka yang menganggap seorang OKU tidak patut memandu kereta mewah dan mahal.
Pihak pentadbir laman Facebook Spotted Torquay itu kemudian segera mengeluarkan kenyataan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak adil kepada pemilik Lamborghini tersebut.
Dalam laman Facebook itu juga, terdapat beberapa orang kurang upaya turut berkongsi kisah pengalaman mereka dituduh menyalahgunakan petak parkir OKU.
Ini merupakan satu pengajaran bermakna buat semua pengguna laman media sosial untuk tidak terus melontarkan pandangan dan pendapat tanpa soal selidik terlebih dahulu.