Ops Luxury: Porsche milik selebriti antara 101 kenderaan mewah disita JPJ

260

Sebuah kereta Porsche milik selebriti wanita antara 101 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Luxury di seluruh negara sepanjang bulan ini.

Porsche itu disita sekitar Lembah Klang selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans tamat tempoh dan antara kesalahan paling banyak direkodkan dalam operasi berkenaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli mengesahkan sebahagian pemilik kenderaan mewah adalah individu kenamaan dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan atas dasar siasatan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, tidak kira siapa pun mereka.

“Lagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat.

“Alasan seperti terlupa memperbaharui LKM, tidak boleh diterima. Kalau selepas disita, boleh pula segera bayar dan perbaharui… kenapa tidak dibuat lebih awal?” katanya menambah kebanyakan pemilik memberi alasan sedemikian tetapi hanya bertindak selepas kenderaan disita.

Beliau berkata pelaksanaan Ops Luxury bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan mewah yang mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.

Dalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan termasuk jenis Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.

“Antara kesalahan dikenalpasti ialah LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah.

“Selain itu, nombor pendaftaran tidak sepadan dengan sistem, nombor pendaftaran palsu serta ‘trade plate’ tiruan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, Ops Luxury turut mendedahkan kemungkinan terdapat kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis serta penggunaan nombor pendaftaran palsu.

Pasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon dan tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan ‘trade plate’ palsu juga terlibat. 

Operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat orang ramai dan kenderaan tersebut disita di seluruh negara dengan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah tertinggi masing-masing 17 kenderaan.

Ia diikuti Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10), Kedah (sembilan), Pahang (lima), Melaka (lima), Negeri Sembilan (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (dua), Sabah (dua), Perlis (satu) dan Sarawak (satu).

Kesemua kenderaan berkenaan kini disimpan di depoh JPJ dan akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan berkaitan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here