
Di dalam sukan permotoran, sentiasa ada projek gila yang mahu kereta lumba digunakan di atas jalan.
Ini contoh terbaru iaitu Porsche 963 RSP yang dibangunkan berdasarkan mesin juara IMSA dan WEC.
Model unik ini bukan sekadar tambahan kepada barisan kenderaan berprestasi tinggi Porsche, tetapi merupakan penghormatan kepada sejarah gemilang khususnya di litar perlumbaan ketahanan (endurance).
Model one-off ini diinspirasikan oleh sebuah model legenda 50 tahun lalu.
Sebuah Legenda Dahulu, Inspirasi Kini
Sebelum kita menyelami keunikan 963 RSP, adalah penting untuk memahami inspirasinya.
Lebih setengah abad yang lalu, dunia automotif dikejutkan dengan sebuah kejadian luar biasa.
Pada April 1975, sebuah Porsche 917 yang dianggap sebagai kereta lumba ketahanan paling canggih pada zamannya membuat perjalanan yang tidak disangka-sangka.
Bukan di litar perlumbaan, tetapi di jalan awam, bergerak dari kilang Zuffenhausen ke Paris.
Perjalanan ini, yang dilakukan oleh pemiliknya yang berani, Count Gregorio Rossi di Montelera, menjadi titik tolak bagi idea di sebalik 963 RSP.
Beliau dikenali sebagai individu yang berani mengubahsuai 917 miliknya untuk kegunaan di jalan raya, mencetuskan satu legasi yang kini dihidupkan semula.
Ia membuktikan bahawa kereta lumba boleh menjadi lebih daripada sekadar jentera litar ia boleh menjadi seni kejuruteraan yang berani melangkah keluar dari zon selesa.
963 RSP: Gabungan Dua Dunia
Idea untuk 963 RSP bermula dari perbincangan “bagaimana jika?” di antara sekumpulan peminat di Penske dan Porsche.
Mereka membayangkan versi Porsche 963 Hypercar yang dapat menghidupkan kembali semangat dan penampilan unik 917 yang dipandu di jalan raya.
Hasilnya adalah 963 RSP, sebuah projek penuh semangat yang memperlihatkan gabungan teknologi perlumbaan terkini dengan keunikan sebuah kereta jalan raya.
“Ini benar-benar bermula sebagai projek minat dari pasukan kecil peminat di Penske dan di Porsche yang bersama sama membayangkan versi 963 yang benar benar menyerupai semangat dan penampilan 917 yang asal,”
kata Timo Resch, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Cars North America, yang mencetuskan idea ini.
“917 merupakan kereta lumba walaupun dipandu di jalan raya dan kami mengambil pendekatan yang sama dengan 963 RSP. Ia menggunakan bahan bahan berkualiti terbaik yang ada, tetapi masih setiap inci kereta lumba di bawahnya.”
Transformasi untuk Jalan Raya
963 RSP menampilkan perubahan ketara berbanding kereta lumba 963 biasa.
Salah satu cabaran unik adalah proses pengecatan. Tidak seperti kereta lumba yang biasanya dibalut, 963 RSP dicat sepenuhnya.
Ini memerlukan ketelitian tinggi memandangkan badan gentian karbon dan Kevlar® yang sangat nipis di beberapa bahagian untuk tujuan penjimatan berat.
Sebagai penghormatan kepada 917 yang asal, 963 RSP diberikan kemasan Perak Klasik.
Selain itu, badan luaran diubah suai dan bahagian dalaman menampilkan gabungan kulit berwarna tan dan Alcantara tempahan khas, diinspirasikan oleh pilihan kemasan yang dibuat pada 917, 50 tahun yang lalu.
Kereta ini dipandu oleh Timo Bernhard dan beriringan dengan 917.
Untuk membolehkannya dipandu di jalan awam berhampiran Le Mans, beberapa penyesuaian mekanikal dan elektronik telah dibuat:
- Ketinggian dinaikkan ke tetapan maksimum untuk penggunaan jalan raya.
- Peredam Multimatic DSSV dilembutkan untuk pemanduan lebih selesa.
- Unit kawalan diprogram semula untuk membolehkan lampu depan dan belakang beroperasi seperti kereta jalan raya biasa, termasuk lampu isyarat.
- Gerbang roda diubah suai untuk menutupi roda sepenuhnya.
- Penggunaan tayar Michelin spesifikasi hujan 18 inci.
- Pemasangan hon, memastikan kereta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk lesen plat di bawah kebenaran khas pihak berkuasa Perancis.
Enjin dan Prestasi
963 RSP dikuasakan enjin hibrid V8 4.6 liter turbo berkembar yang menghasilkan sehingga kira kira 680 kuasa kuda (hp).
Enjin ini asalnya dari program perlumbaan RS Spyder dan kemudiannya digunakan dalam model 918 Spyder.
Walaupun 963 RSP mengekalkan tetapan perlumbaan standard, penghantaran kuasa dari unit motor penjana (MGU) telah dipetakan semula untuk memberikan penyampaian yang lebih lancar, sesuai untuk penggunaan jalan raya.
Enjin ini juga telah diubah suai untuk mampu menggunakan pam petrol, satu usaha besar dari pasukan Porsche.
Sistem elektrik hibridnya mampu menghasilkan sehingga 800 volt, dengan bateri berkapasiti 1.35 kWj.
Walaupun sistem ini boleh memberikan lonjakan kuasa singkat antara 30 hingga 50 kW, ia tidak mengubah output keseluruhan sistem pacuan.
Sentuhan Mewah di Dalaman
Perubahan paling ketara pada 963 RSP berbanding versi perlumbaan mungkin terletak pada bahagian dalaman.
Mengikuti jejak dalaman 917 buatan tangan, 963 RSP menampilkan gabungan kulit tan lembut dan Alcantara.
Berbeza dengan kereta lumba yang minimalis, 963 RSP lebih selesa, dengan kerusi karbon tunggal balutan kulit dan mempunyai kusyen lembut di tengah, serta sandaran kepala tetap. Kerusi ini juga dilengkapi pendingin hawa.
Perincian lain termasuk kusyen kaki di ruang kaki, pelapik bumbung dan tiang yang dibalut semula dengan Alcantara terang, dan stereng yang dibalut kulit.
Satu penambahan menarik adalah pemegang cawan cetakan 3D yang boleh ditanggalkan dan boleh memegang cawan perjalanan Porsche dengan selamat.
Sebuah Karya Seni Kejuruteraan
Walaupun mampu dipandu di jalan raya di bawah keadaan khas dan kebenaran tempatan, Porsche 963 RSP bukanlah model yang dihomologkan untuk pengeluaran massa.
Ia kekal sebagai sebuah kenderaan one-off yang sangat istimewa.
Projek ini bukti kepada semangat inovasi, keberanian, dan penghormatan terhadap warisan perlumbaan yang hanya Porsche boleh wujudkan.
Ia adalah gambaran sempurna bagaimana masa lalu dan masa kini dapat bersatu, menghasilkan sesuatu yang benar benar luar biasa.
Porsche 963 RSP
Porsche 963 RSP, 917 Kurzheck (ekor pendek)