
Seorang pemandu teksi Bangkok enggan menerima pembayaran secara online dan didakwa mengenakan caj tambahan gara-gara perlu menunggu penumpang mengeluarkan wang tunai dari mesin pengeluar automatik (ATM).
Seorang pemuda Thailand menyaksikan pertengkaran antara pemandu teksi dan penumpang wanita berkenaan lalu berkongsi video di akaun Facebooknya, เรารัก กัน ตลอดไป pada 23 Jun.
“Pakcik (pemandu teksi), sila tinggal di rumah jika anda tidak bersedia untuk melayani penumpang. Jangan pentingkan diri dan cuba menipu penumpang dengan beberapa baht,” tulis kapsyen hantaran.
Dalam video itu, kedengaran saksi meminta penjelasan tentang kejadian yang berlaku.
Penumpang wanita itu mendakwa pemandu cuba mengenakan bayaran tambahan kerana perlu menunggunya mengeluarkan wang tunai.
Pemandu teksi menjelaskan dia menunggu lebih 30 minit yang mana menyebabkannya kehilangan peluang mengambil penumpang lain dan memperoleh lebih banyak wang.
Saksi yang menyokong penumpang itu berkata pemandu seharusnya menerima pindahan wang online untuk mengelakkan kelewatan yang tidak perlu.
Tambahnya, pemandu teksi harus mengutamakan keselesaan penumpang dengan menawarkan pelbagai kaedah pembayaran.
“Tidak, saya rasa saya tidak perlu menawarkan jenis perkhidmatan yang awak cakapkan. Bukan salah saya. Saya menunggu lebih 30 minit. Apa yang lebih selamat, tunai atau pindahan wang melalui bank? Ini wang tunai. Orang ramai tidak boleh terlalu bergantung pada telefon mereka. Mereka sepatutnya membawa wang tunai,” tegas pemandu teksi.
Di sebalik dakwaannya, video itu menunjukkan pemandu teksi mencengkam lengan wanita itu dengan kuat sambil menuntut bayaran tambahan.