
Berpantang maut sebelum ajal, seorang pemandu treler sempat membrek tepat pada masanya sebelum jalan di Jambatan Sungai Houzi runtuh di hadapannya.
Akibat insiden itu, bahagian kepala treler berkenaan tergantung di hujung jambatan yang runtuh di jurang sedalam 100 meter.
Kejadian pada Selasa itu berlaku akibat tanah runtuh susulan hujan lebat yang mana Jambatan Sungai Houzi itu merupakan sebahagian daripada lebuh raya G76 Xiarong di daerah Sandu.
Menerusi video yang tular menunjukkan pemandu terperangkap dalam kabin treler dan perakam menyatakan tiada capaian telco di lokasi kejadian.
Selain itu, perakam video menunjukkan dua buah kenderaan yang jatuh bersama bahagian jambatan yang di runtuh di bahagian bawah.
@aljazeeraenglish Video shows the moment a cargo truck, with the driver inside, was seen hanging over the edge of a collapsed road bridge in Guizhou province, China. . According to authorities, the Houzi River Bridge collapsed due to a landslide triggered by heavy rainfall in the area. #news #Guizhou #China
Bagaimanapun, pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menarik pemandu ke tempat yang selamat. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa runtuhan itu disebabkan oleh tanah runtuh yang memecahkan tiang penyokong jambatan setelah hujan lebat beberapa hari.
Wilayah Guizhou di China terkenal dengan gunung dan taburan hujan lebat. Jalan pergunungan dan sempit di wilayah itu menyukarkan pemandu lori untuk melaluinya.
Pihak berkuasa berkata beberapa sungai melimpah selepas hujan beberapa hari di wilayah Guizhou yang dilanda banjir ketika bermulanya monsun tahunan Asia Timur.