
Dalam tempoh dua minggu selepas dirasmikan, satu bahagian jambatan di Wilayah Tay Ninh, Vietnam runtuh hari Ahad yang lepas menurut laporan berita VNExpress seperti yang dipetik oleh Kosmo.
Kejadian itu menyebabkan sejumlah kenderaan terjunam ke dalam ‘jurang’ sedalam 3 meter dan menyebabkan tujuh orang cedera.
Salah seorang mangsa, Nguyen Van Tinh, 43, sedang memandu kereta menuju ke jambatan bersama tiga penumpang apabila kenderaan itu terjatuh ke dalam lubang jam 4 pagi waktu tempatan.
Pada masa sama, dua motosikal yang membawa tiga orang kesemuanya turut terjatuh ke dalam jurang.
Kesemua mangsa yang terlibat dibawa ke Hospital Besar Tay Ninh.
Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Chau Thanh, Le Ngoc An berkata, hujan lebat di kawasan itu sejak beberapa hari lalu mungkin menyumbang kepada kejadian tersebut.
Pihak berkuasa telah menutup jalan itu dan mengarahkan orang ramai untuk mengambil laluan alternatif.
Jambatan sepanjang 450 meter dan lebar 12 meter itu menelan kos pembinaan lebih 37 bilion dong (RM6 juta).