Perkahwinan Putera Abdul Mateen, ini koleksi Rolls Royce yang digunakan…

289

Majlis perkahwinan Putera Brunei, Abdul Mateen dan isteri baru saja berakhir. Putera Abdul Mateen, 32 mengahwini Anisha Rosnah Isa-Kalebic, 29, dalam upacara yang penuh dengan tradisi bermula 7 Januari.

Majlis akad nikah diadakan di sebuah masjid pada Khamis, dan acara kemuncak pada Ahad dengan sambutan dan perarakan di jalan Brunei.



Menerusi perarakan itu boleh dilihat barisan koleksi Rolls Royce milik Sultan Brunei yang digunakan dalam konvoi tersebut.

Pasukan pengawal kerajaan mendahului perarakan menggunakan Land Rover Defender 110 berwarna putih.

Pasangan pengantin menggunakan Rolls-Royce Phantom V Convertible berwarna hitam. Limousin berkenaan dikeluarkan pada 1959 hingga 1968 yang didatangkan dengan empat pintu dan enjin 6,230 cc V8 bersama transmisi automatik 4-kelajuan. 

Sultan Hassanal Bolkiah yang hadir lebih dulu menggunakan Rolls-Royce Phantom VI yang sering dilihat dalam urusan rasmi.

Model Phantom merupakan model paling mewah dan mahal dalam Rolls-Royce. Model Phantom paling awal diperkenalkan pada 1925 sebagai ganti Silver Ghost dan terus berevolusi selepas Perang Dunia Ke-2.

Segelintir individu mungkin menilai Phantom IV pada tahun 1950 hingga 1956 sebagai baka yang paling berkelas, kerana hanya 18 unit dibina untuk keluarga diraja dan orang terkaya di dunia.

Bagaimanapun, Phantom V dan VI merupakan model paling diingati kerana keluaran 31 tahun yang luar biasa dan banyak mempengaruhi imej Rolls-Royce.

Selain itu, turut kelihatan dua unit Rolls-Royce Silver Spur II dengan format empat pintu dan dimensi lebih panjang. Ia menggunakan enjin 6,750cc V8 yang hanya 56 unit di dunia.

Selain barisan kenderaan mewah Rolls Royce dalam edisi terhad dan klasik itu, kelihatan juga model seperti BMW 740i dan Lexus LS460. 
 
 
Pada acara pernikahan, Putera Abdul Mateen dilihat tiba di masjid dengan Rolls Royce Phantom yang menggunakan enjin 6,749cc V12 turbo berkuasa 564hp dan tork 900Nm.
 

Sultan Hassanal Bolkiah memiliki pelbagai model dan jenama koleksi kenderaan yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Dipercayai, Sultan Brunei itu memiliki 600 unit koleksi Rolls Royce antaranya Cloudesque, Silver Seraph dan Silver Spur II. Kebanyakan model yang dimiliki adalah tempahan khas. 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here