
Rolls-Royce memperkenalkan model pertama dalam Coachbuild Collection, iaitu Project Nightingale – sebuah convertible dua pintu ultra-eksklusif berkuasa elektrik.
Difahamkan, produksi bagi model ini dihadkan kepada 100 unit sahaja.
Dari segi dimensi, Nightingale membawakan ukuran sepanjang 5.76 meter, menyamai saiz Phantom.
Ia menampilkan cermin depan yang lebih condong, bahagian belakang yang diinspirasikan daripada bot mewah serta rim 24 inci dengan rekaan ilham daripada kipas bot mewah.
Selain itu, terdapat Pantheon Grille yang diukir daripada blok keluli tahan karat yang diapit lampu LED menegak ultra-nipis yang bersambung ke terus ke lampu LED bahagian belakang menerusi jalur keluli tahan karat berkilat.
Akhir sekali, model ini dilayangkan dengan warna Cote d’Azur Blue yang diinspirasikan daripada ekperimen Rolls-Royce 17EX (1928).
Ruang kabin pula hanya memuatkan dua orang pada satu-satu masa, menampilkan ciri utama seperti sistem pencahayaan Starlight Breeze yang terdiri daripada 10,500 titik cahaya gentian optik dengan corak yang diambil daripada gelombang bunyi kicauan burung nightingale.
Struktur bumbung pula menggunakan campuran komposit kasmir dan fabrik berprestasi tinggi yang membenarkan bunyi titisan hujan masuk dan dalam masa yang sama menapis bunyi mekanikal untuk mengekalkan romantika pemanduan bumbung terbuka.
Model Nightingale ini berkongsi senibina yang sama dengan model Rolls-Royce lain, sementara unit rangkaian kuasa pula diambil daripada model Spectre.
Tidak seperti model binaan khas seperti Sweptail, Boat Tail dan Drop Tail, angka produksi bagi Nightingale akan dihadkan kepada 100 unit sahaja.
Namun, pemilik sebenar Nightingale ini akan dipilih sendiri oleh pihak Rolls-Royce.
Kos pemilikan bermula sekitar £7 juta (RM42 juta) tidak termasuk kos penyesuaian yang bakal ditentukan oleh pemilik masing-masing.



































