
Kehadiran sebuah jentera ultramewah, Rolls-Royce Boat Tail di Malaysia merungkai salah seorang pemilik model berkenaan yang mana hanya tersedia tiga unit di dunia.
Dikeluarkan dalam unit terhad, model super eksklusif itu tersenarai sebagai kereta baharu paling mahal dalam sejarah automotif dunia, sebaris dengan model seperti Rolls Royce La Rose Noire Droptail dan Bugatti La Voiture Noire.
Sebelum ini, identiti pemilik Boat Tail dibaluti pelbagai spekulasi antarabangsa yang mana pasangan selebriti dunia Jay-Z dan Beyonce serta bintang bola sepak Argentina, Mauro Icardi pernah dikaitkan antara pembeli model tersebut.

Kemunculan Rolls-Royce Boat Tail Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu muncul di hujung video perlawanan akhir Johor Super Crown Polo Tournament 2026 yang dikongsi di akaun rasmi Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Selain itu, akaun Instagram Insane Luxury turut berkongsi video kenderaan mewah tersebut ketika Pemangku Raja Johor berkenaan tiba di lokasi Johor Super Crown Polo Tournament 2026.
Kenderaan rekaan khas (coachbuilt) itu dijual pada harga sekitar USD28 juta (RM118 juta) dan menjadikan ia antara kereta paling mahal seiring model Rolls Royce La Rose Noire Droptail dan Bugatti La Voiture Noire.
Pertama kali dipertontonkan pada tahun 2021, Rolls-Royce menterjemahkan Boat Tail sebagai “kemuncak rekaan tersuai”.

Nama Boat Tail sempena rekaan model yang menyerupai rekaan kapal layar mewah dan ia didatangkan dengan dua pintu bersama bentangan empat kerusi dengan panjang 5,900mm.
Kemudian, ia menggunakan enjin 6.75 liter V12 Twin-Turbo berkuasa 563hp dan tork 900Nm bersama transmisi automatik 8-kelajuan.
Apa yang menarik perhatian adalah rekaan bahagian ‘ekor’ yang menampilkan deck lid bukaan tengah seakan kepak rama-rama dan boleh menempatkan dua unit peti sejuk serta set peralatan dan pinggan mangkuk jenama Christofle.
Bagi melengkapkan lagi set piknik tersebut adalah sepasang kerusi kecil diperbuat daripada gentian karbon, dan payung kecil yang boleh dibuka dan disimpan di belakang.
Selain Boat Tail, Tunku Ismail turut dikaitkan dengan deretan koleksi hypercar mewah bernilai tinggi termasuklah Bugatti W16 Mistral, Koenigsegg Jesko Attack, dan Ferrari LaFerrari.




