
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pulau Pinang menyita sebuah supercar Lamborghini Huracan selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh Jun lalu dalam Ops Luxury pada 3 September.
Menurut kenyataan, nilai cukai jalan setahun bagi supercar berharga lebih daripada RM1 juta itu mencecah RM12,000.
“JPJ Pulau Pinang menegaskan bahawa nilai atau status sesebuah kenderaan bukanlah tiket untuk pemiliknya melanggar peraturan.
“Tindakan Penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, termasuk pemilik kenderaan mewah,” menurut kenyataan pada Isnin.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 11 buah kenderaan mewah pelbagai jenis telah disita serta-merta.
Tindakan berkenaan diambil selepas kesemua kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan LKM telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
“Sikap tidak bertanggungjawab pemilik-pemilik kenderaan ini dianggarkan telah mengakibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM20,000 akibat kegagalan memperbaharui cukai jalan.
“Pihak berkuasa mengeluarkan amaran keras kepada semua pemilik kenderaan agar tidak culas khususnya golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan mewah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya sedia ada,” ujarnya.





























