
Dacia memperkenalkan Dacia Spring baharu, generasi kedua kenderaan elektrik segmen A yang kini hadir dengan reka bentuk serba baharu, ruang kabin lebih luas dan teknologi terkini daripada Renault Group.
Spring generasi pertama telah terjual lebih 210,000 unit di lebih 40 negara sejak 2021, sekali gus menjadi antara model yang membantu lebih ramai pengguna beralih kepada mobiliti elektrik.
Spring 2027 dibangunkan menggunakan platform baharu RG-EV Small dan mengekalkan konsep asal sebagai kereta elektrik yang ringkas, praktikal dan mampu milik.
Pelanggan juga ditawarkan dengan pilihan ringkas iaitu hanya dua varian iaitu Expression dan Journey.
Kedua-duanya menggunakan motor 60 kW (80 hp), bateri 27.5 kWj LFP dan pengecas AC 6.6 kW. Kapasiti bateri yang kecil menyumbang kepada harga mampu milik.
Model ini dikeluarkan di kilang Novo Mesto, Slovenia.
Lebih Besar dan Lebih Tegap
Reka bentuk Spring tampil bergaya dan menolak falsafah kereta rakyat perlu nampak murah dan kemudian berselindung di sebalik reka bentuk adalah sesuatu yang subjektif.
Spring menggunakan bentuk geometri yang lebih jelas, dengan kemasan hitam menghubungkan lampu hadapan dan belakang.
Elemen ini turut menonjolkan identiti pencahayaan yang diinspirasikan daripada logo Dacia Link.
Spring generasi kedua mempunyai perubahan ketara pada dimensi berbanding model terdahulu.
- Panjang: 3.85 meter
- Lebar: 1.74 meter tanpa cermin sisi
- Pertambahan lebar: 18 cm
- Pertambahan panjang: 15 cm
- Berat: 1,212 kg
Ukuran lebih lebar memberikan penampilan lebih tegap, selain meningkatkan ruang dalaman.
Dengan radius pusingan hanya 4.95 meter, Spring direka untuk memudahkan pemanduan di kawasan bandar.
Kelengkapan Standard
Antara kelengkapan standard termasuk:
- Brek parkir elektrik automatik
- Sensor parkir belakang
- Kluster instrumen digital 7 inci
- Pendingin hawa manual
- Lampu utama automatik
- Tingkap hadapan elektrik
Varian Journey turut mendapat kamera undur dan kad akses tanpa kunci.
Fungsi My Safety membolehkan pemandu menyesuaikan tetapan sistem bantuan pemanduan ADAS tertentu dengan lebih mudah setiap kali kenderaan dihidupkan.
Spring ditawarkan dalam empat warna iaitu Agave, Shadow Grey, Diamond Black dan Glacier White.
Kabin Lebih Praktikal
Bahagian dalaman Spring sekali lagi membuktikan kereta rakyat tidak perlu nampak murah.
Walaupun terdapat perkakasan dengan kos rendah, dapat dilihat pereka Spring cuba untuk menyeimbangkannya melalui reka bentuk/
Papan pemuka menggunakan susunan mendatar untuk memberikan rasa ruang yang lebih luas. Sistem paparan turut dinaik taraf.
- Kluster instrumen digital 7 inci
- Skrin multimedia tengah 10.1 inci
- Tempat simpanan tambahan dalam kabin
- Tempat pemegang telefon bersepadu
- Kerusi pemandu boleh dilaras secara gelongsor dan ketinggian
- Stereng boleh dilaras dari segi ketinggian dan jarak
Dacia turut menawarkan sistem YouClip dengan sehingga tiga cagak pemasangan sebagai standard.
Ia boleh digunakan untuk memasang aksesori seperti pemegang cawan, lampu suluh mudah alih, pemegang cermin mata dan klip kabel telefon.
Ruang But Sehingga 1,283 Liter
Walaupun hadir dengan fizikal yang kecil, Spring mempunyai ruang simpanan yang menarik.
- Kapasiti but: sehingga 337 liter
- Dengan tempat duduk belakang dilipat: sehingga 1,283 liter
- Tempat duduk belakang: 50:50
- Frunk pilihan: 18 liter
Spring baharu juga kekal sebagai satu-satunya model segmen A yang menawarkan ruang simpanan di bawah bonet hadapan.
Selain itu, lantai but boleh ditanggalkan dan dibahagikan kepada dua bahagian untuk membantu mengasingkan barang.
Motor Elektrik 80 HP dan Jarak Hingga 249 km
Di sebalik reka bentuk yang menarik, Dacia nampaknya terpaksa berkompromi dengan rangkaian kuasa.
Dacia Spring menggunakan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 60 kW (80 hp) dan 175 Nm.
Prestasinya merangkumi:
- 0-100 km/j: 12.1 saat
- Kelajuan maksimum: 130 km/j
- Bateri: 27.5 kWj LFP
- Jarak WLTP: sehingga 249 km
- Penggunaan tenaga: 12.7 kWj/100 km
Jarak tersebut ternyata rendah namun menurut Dacia, kebanyakan pemilik Spring generasi pertama hanya memandu sekitar 21 km sehari pada purata kelajuan 21 km/j.
Sebanyak 75% pemilik pula mengecas kereta di rumah.
Atas sebab itu, Dacia mengekalkan fokus Spring baharu kepada penggunaan harian dan perjalanan ulang-alik.
Antara EV Paling Ringan dan Cekap
Dengan berat hanya 1,212 kg, Spring merupakn antara kereta elektrik paling ringan dalam kelasnya.
Penggunaan tenaga pula hanya 12.7 kWh/100 km (WLTP), membantu mengurangkan penggunaan elektrik serta kos operasi.
Dacia menganggarkan Spring mampu mengurangkan jejak karbon sepanjang kitar hayat sekitar 60% berbanding model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang setara.
Pengecasan AC dan DC
Spring baharu hadir dengan pengecas AC 6.6 kW sebagai standard.
Masa pengecasan dari 15% hingga 80% adalah:
- Soket domestik: 9 jam
- Soket berkapasiti tinggi: 5 jam 40 minit
- Pengecas rumah 7 kW: 2 jam 55 minit
Pelanggan juga boleh memilih Charge Pack yang menambah pengecas AC 11 kW dan pengecas DC 50 kW.
Dengan pengecas DC 50 kW, pengecasan 15%-80% hanya mengambil masa 28 minit.
Sementara itu, pengecas AC 11 kW boleh mengecas bateri dari 15%-80% dalam 1 jam 55 minit menggunakan pengecas rumah tiga fasa 11 kW atau titik pengecasan 22 kW.
Charge Pack turut memberikan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik kecil seperti lampu, pengecas bateri basikal elektrik dan mesin kopi.
Harga Dijangka Bawah £18,000 (RM99,000)
Spring dijangka ditawarkan di UK pada harga yang cukup menarik iaitu di bawah £18,000 (RM99,000), sebelum subsidi kerajaan.











































