Dacia Hipster Concept, EV ringkas dengan panjang 3 meter!

188

Dacia memperkenalkan Hipster Concept, sebuah kereta konsep yang menawarkan pendekatan berbeza terhadap mobiliti elektrik.

Konsep ini direka khusus untuk kegunaan seharian dan impian besar untuk mengurangkan separuh jejak karbon berbanding kenderaan elektrik (EV) terbaik yang ada sekarang.

Walaupun trend industri automotif terus ke arah kereta yang lebih besar, berat dan mahal, Dacia berpegang pada misi selama dua dekad untuk memastikan orang ramai dapat mengakses mobiliti asas yang penting.

Hipster Concept adalah langkah Dacia untuk mencipta semula kereta rakyat sejati dan menjadikan pasaran EV lebih mampu milik untuk semua.

Tumpu pada Perkara Penting

Pasukan reka bentuk Hipster Concept menumpukan pada keperluan asas pengguna sebenar. Kenderaan harian ini direka untuk menjadi tangkas, praktikal dan menjimatkan.

Walaupun ukurannya kompak, Hipster Concept memaksimakan ruang dalaman. 

Ukuran Dacia Hipster Concept:

  • Panjang: 3 meter
  • Tinggi: 1.53 meter
  • Lebar: 1.55 meter
  • Tempat Duduk: Empat tempat duduk sebenar
  • Kapasiti But: Fleksibel, dari 70 liter hingga 500 liter

Keupayaan untuk menawarkan kapasiti but yang besar dalam dimensi ultra-padat adalah satu tawaran yang unik di pasaran.

Lebih Ringan dan Mesra Alam

Hipster Concept 20 peratus lebih ringan berbanding model Dacia Spring. Pencapaian ini adalah hasil daripada pendekatan ‘Eco-Smart’ Dacia.

Berat yang berkurangan bermakna kurang bahan mentah digunakan dalam pembuatan dan juga kurang tenaga diperlukan untuk menggerakkan kereta dalam operasi harian.

Ini adalah faktor kritikal dalam usaha Dacia untuk mengurangkan separuh jejak karbon sepanjang kitaran hayat EV ini.

Kereta ini direka untuk kegunaan yang realistik, sesuai untuk bandar, jalan luar bandar dan pinggir bandar.

Dengan jarak perjalanan yang mencukupi, ia dijangka hanya perlu dicas semula kira-kira dua kali seminggu.

Ini memenuhi keperluan pelanggan, memandangkan kebanyakan pemandu (contohnya, 94% di Perancis) memandu kurang dari 38.6 kilometer (km) sehari.

Hipster Concept juga bertujuan untuk mengatasi masalah kenaikan harga, di mana harga purata kenderaan baharu di Eropah meningkat sebanyak 77 peratus antara 2010 dan 2024, melebihi kemampuan membeli ramai isi rumah.

Reka Bentuk Luaran: Ringkas dan Berfungsi

Reka bentuk luaran Hipster Concept ringkas, mudah dikenali, dan kukuh. Bentuknya menyerupai bongkah yang stabil di atas empat roda tanpa juntaian (overhang) di hadapan atau belakang.

Kesederhanaan Hipster tercermin dalam reka bentuk bahagian hadapan, yang sepenuhnya mendatar dan menggabungkan lampu hadapan yang kemas dan memberikan rupa serius namun mesra.

Di belakang, pintu but dibuka dalam dua bahagian dan menjangkau keseluruhan lebar kereta untuk akses yang sangat praktikal.

Lampu belakang diletakkan di belakang tingkap pintu but, menghilangkan keperluan untuk panel kaca khas.

Sebagai langkah penjimatan kos, kereta ini hanya menggunakan warna badan tunggal dan tiga bahagian yang dicat.

Untuk ketahanan, ia mempunyai perlindungan sisi yang banyak menggunakan bahan Starkle® (diperolehi daripada plastik kitar semula) serta pelindung bawah depan dan belakang diberikan pewarnaan penuh (dyed).

Selain itu, pemegang pintu luar diganti dengan tali yang lebih ringan dan praktikal, mencerminkan fokus Dacia pada fungsi dan kecekapan kos.

Ruang Dalaman Anjal

Meskipun kompak di luar, Hipster Concept menawarkan ruang dalaman yang luar biasa.

Tingkap dan cermin depan yang tegak, bersama bumbung berkaca di hadapan membantu memaksimumkan ruang dan memberi rasa lapang. Tingkap sisi pula adalah jenis gelongsor untuk menjimatkan kos dan berat.

Empat orang dewasa boleh duduk dengan selesa. Tempat duduk hadapan digabungkan membentuk tempat duduk jenis bangku (bench), satu ciri yang mengingatkan kereta ikonik lama.

Untuk fleksibiliti, tempat duduk belakang boleh dilipat membolehkan kapasiti but diubah dari 70 liter kepada 500 liter.

Ketersambungan dan Penyesuaian

Hipster Concept adalah ‘YouClip® native’, yang bermaksud ruang dalamannya boleh disesuaikan menggunakan pelbagai aksesori YouClip®.

Terdapat 11 sudut penambat YouClip® di papan pemuka, pintu dan but untuk memasang aksesori tambahan.

Selaras dengan falsafah BYOD (Bawa Peranti Anda Sendiri) Dacia, kereta ini menggunakan dok pengecasan telefon pintar sebagai pusat ketersambungan.

Telefon pintar ini juga berfungsi sebagai kunci digital untuk membuka dan menghidupkan kereta.

Apabila diletakkan di dok, ia bertindak sebagai skrin multimedia untuk navigasi dan sistem audio, yang disambungkan kepada pembesar suara Bluetooth mudah alih yang serasi dengan YouClip®.

Jenama Rakyat

Dacia Hipster Concept mewakili pendekatan minimalis dan pragmatik terhadap mobiliti elektrik.

Dengan tumpuan pada keringanan, kecekapan kos dan memenuhi keperluan asas harian, kereta konsep ini memperlihatkan usaha Dacia untuk menyediakan EV yang benar-benar boleh diakses dan mampan kepada pasaran yang lebih luas, selaras dengan falsafah asal mereka sebagai pengeluar kereta rakyat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here