
Upah gaji lebih rendah berbanding pekerja tempatan antara alasan segelintir majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu kenderaan perdagangan berat.
Kegiatan itu dibongkar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan bermula 1 hingga 30 September lalu.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata tiga pemandu masing-masing warga Bangladesh, Myanmar dan Pakistan itu dikesan memandu lori kontena, lori tipper (pengangkut bahan pukal) serta lori kawalan arah berganda (double control).
Katanya, semua pemandu warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu didapati memandu jarak jauh termasuk dari Perak menuju ke utara tanah air.

“Semua kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut selain notis saman turut dikeluarkan kerana warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan perdagangan di negara ini.
“Selain itu, dalam operasi sama kita turut mengesan sebuah bas kilang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Kita juga kesan beberapa kes yang mana kenderaan berat ini melakukan pengubahsuaian struktur badan asal tanpa kebenaran seperti penggunaan tong atau bucket yang lebih besar dan tinggi untuk membawa lebih muatan sehingga melebihi had ketinggian dibenarkan,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 19,191 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 1,616 daripadanya diambil tindakan sepanjang operasi.
Di samping itu, 2,946 saman dikeluarkan manakala 26 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Vokasional (GDL/PSV) sebanyak 398 kes, membawa muatan melebihi had dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (277 kes) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (100 kes).
Kesalahan lain termasuklah 232 kes melibatkan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen, 227 kes Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan 85 kes pula dikesan memandu tanpa perlindungan insurans.