Stok habis, Shell Indonesia belum putuskan beli petrol Pertamina

179

Shell Indonesia melaporkan telah kehabisan stok bahan api minyak (BBM) di seluruh rangkaian stesen minyak (SPBU) miliknya.

Sementara itu, PT Vivo Energy Indonesia dan BP-AKR melaporkan stok yang mereka miliki kini terhad. 

Shell Indonesia melaporkan tiga jenis petrol yang dijual, iaitu Shell Super (RON 92), Shell V-Power (RON 95), dan Shell V-Power Nitro+ (RON 98) mengalami kehabisan bekalan di seluruh SPBU.

Buat masa ini, pihak pengurusan Shell belum dapat memastikan ketersediaan stok ketiga-tiga jenis petrol tersebut di stesen minyak.

“Mohon maaf, Shell Super tidak tersedia di SPBU Shell sehingga waktu yang belum dapat dipastikan,” tulis pengumuman di laman web rasmi Shell Indonesia. 

Presiden dan Pengarah Urusan Mobiliti Shell Indonesia, Ingrid Siburian menjelaskan bahawa syarikat itu terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan bekalan petrol kembali tersedia.

Ingrid menyatakan rundingan perniagaan ke perniagaan (B2B) berkaitan bekalan import bahan api asas daripada PT Pertamina (Persero) masih berjalan.

“Pada masa ini, rangkaian stesen minyak Shell kekal melayani pelanggan dengan produk petrol Shell V-Power Diesel serta produk dan perkhidmatan lain; termasuk Shell Select, Shell Recharge, bengkel, dan pelincir Shell,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan BP-AKR melaporkan bekalan petrol jenis BP 92 tidak tersedia di seluruh kawasan Tangerang, Bekasi, dan beberapa kawasan di Jakarta.

Kendatipun begitu, terdapat sebilangan rangkaian stesen minyak di kawasan Jakarta yang masih menjual BP 92.

Selain itu, Vivo melaporkan masih menjual petrol jenis Revvo 92 di sebahagian rangkaian stesen minyak mereka.

Menurut kenyataan media, daripada 44 buah SPBU yang dimiliki, terdapat 24 buah SPBU yang tidak menyediakan petrol dengan nilai oktan 92. Manakala, produk petrol lain iaitu Revvo 90 dan Revvo 95 telahpun kehabisan stok.

RUNDINGAN BEKALAN MASUK BABAK BARU

Sementara itu, Liputan6 melaporkan rundingan perolehan petrol di SPBU swasta kini memasuki babak baharu.

Dua syarikat swasta, Shell dan Exxon, masih belum bersetuju untuk membeli bahan api asas daripada Pertamina.

Setiausaha Korporat Pertamina Patra Niaga, Roberth Domatubun berkata perbincangan antara Pertamina dan syarikat swasta masih berjalan. Namun, kedua-dua entiti tersebut masih memerlukan masa dan belum membuat keputusan.

“Exxon dan Shell belum dapat memberikan keputusan lanjutan,” kata Roberth. 

Difahamkan, ia merupakan salah satu hasil perbincangan antara syarikat swasta dan Pertamina di pejabat Direktorat Jeneral Minyak dan Gas Bumi (Migas) Kementerian ESDM, pada Jumaat. 

Beliau menjelaskan, Shell dikatakan masih perlu berurusan dengan ibu pejabatnya berkaitan dengan spesifikasi pemenuhan kepatuhan vendor. 

“Exxon akan berbincang untuk keperluan November (2025) kerana masih mempunyai stok,” tambah Roberth.

ARTIKEL BERKAITAN

Tidak penuhi spesifikasi, syarikat swasta batal beli petrol import Pertamina

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here